PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto, hari ini.
Menurut Anwar, pertemuan tersebut membincangkan pelbagai perkembangan membabitkan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Indonesia, khususnya dalam memperkukuh hubungan ekonomi dan perdagangan.
Jelasnya, sesi perbincangan itu juga bakal dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengeratkan lagi hubungan persahabatan antara kedua-dua negara yang telah lama terjalin, termasuk memperluas kegiatan perdagangan merangkumi pelbagai sektor melibatkan pengusaha dari Malaysia dan Indonesia.
“Keutamaan kami adalah untuk memperkukuh serta memperbaharui sinergi ekonomi sedia ada sebagai manifestasi komitmen bersama dalam memupuk kerjasama yang lebih kukuh antara kedua-dua negara pada masa hadapan.
“Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia memerlukan kerjasama erat dengan negara-negara jiran termasuk Indonesia bagi melonjakkan keupayaan rantau ini sebagai destinasi utama pelaburan, pelancongan dan perdagangan, bukan sahaja di peringkat serantau malah di peringkat global,” katanya.











