GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersedia untuk menyalurkan bantuan yang diperlukan ke Gaza sepanjang tempoh gencatan Israel antara Israel dan Hamas.
Bagaimanapun, agensi itu menekankan keperluan untuk ‘akses sistematik’ ke seluruh wilayah bagi melaksanakan usaha tersebut.
Sebahagian besar infrastruktur kesihatan di Gaza musnah akibat perang lebih setahun, sebelum gencatan senjata dikuatkuasakan kelmarin.
Menyambut baik perkembangan itu, Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam hantaran di media sosial berkata, gencatan senjata akan membawa harapan besar bagi berjuta-juta orang yang terkesan akibat konflik.
Beliau berkata, usaha untuk memenuhi keperluan kesihatan yang mendesak serta membangunkan semula sistem kesihatan di Gaza akan menjadi cabaran besar, memandangkan skala kemusnahan dan pelbagai kekangan yang wujud.
Selain menyatakan kesediaan untuk meningkatkan usaha menangani keperluan kritikal di wilayah itu, WHO turut menggesa halangan keselamatan yang menghalang operasi tersebut dihapuskan.
“WHO memerlukan keadaan di lapangan yang membolehkan akses sistematik kepada penduduk di seluruh Gaza, membenarkan kemasukan bantuan melalui semua sempadan serta menghapus sekatan terhadap kemasukan barangan penting,” kata WHO dalam kenyataan.
Sehingga gencatan senjata dikuatkuasakan, Israel masih mengawal sepenuhnya jumlah dan jenis bantuan yang dibenarkan masuk ke Gaza.
Agensi yang berpangkalan di Geneva itu memberi amaran cabaran kesihatan yang bakal dihadapi adalah besar dan menganggarkan kos untuk membangun semula sistem kesihatan Gaza boleh mencecah pelaburan berbilion dolar.
Minggu lalu, WHO menganggarkan kos pemulihan lebih daripada AS$10 bilion (RM45 bilion).
“Hanya separuh daripada 36 hospital di Gaza yang masih separa beroperasi, hampir semua hospital mengalami kerosakan atau musnah sebahagian, dan 38 peratus pusat penjagaan kesihatan utama berfungsi,” menurut WHO.
Berdasarkan angka diberikan oleh Kementerian Kesihatan Gaza, WHO menganggarkan perang di Gaza meragut lebih 46,600 nyawa dan mencederakan lebih 110,000 yang lain.– AFP











