WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan akan mendedahkan dokumen sulit berkaitan pembunuhan bekas Presiden AS, John F Kennedy (JFK), Senator Robert Kennedy dan pemimpin hak sivil, Martin Luther King Jr.
Trump yang kembali ke Rumah Putih berjanji dalam kempennya untuk mengeluarkan fail risikan dan penguatkuasaan undang-undang sulit mengenai pembunuhan JFK pada 1963.
Beliau membuat janji yang sama semasa penggal 2017 hingga 2021 lalu, dan sebenarnya sudah mengeluarkan beberapa dokumen berkaitan pembunuhan presiden AS ke-35 itu.
Namun, Trump akhirnya akur kepada tekanan daripada Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) sebelum memilih merahsiakan sebahagian besar dokumen tersebut, memetik kebimbangan keselamatan negara.
“Dalam beberapa hari akan datang, kami akan mendedahkan rekod sulit selebihnya berkaitan dengan pembunuhan JFK, abangnya, Robert Kennedy, King Jr dan topik lain yang menarik minat awam,” kata Trump pada perhimpunan di Washington.
Trump bagaimanapun tidak menyatakan dokumen mana yang akan dikeluarkan dan tidak menjanjikan penyahklasifikasian menyeluruh.
King Jr. dan Robert Kennedy kedua-duanya dibunuh pada 1968.
Pembunuhan JFK khususnya, terus mencetus tanda tanya dan sentiasa menarik minat ramai di AS sehingga kini.
Pembunuhan itu dikaitkan dengan seorang lelaki bersenjata, Lee Harvey Oswald dan Jabatan Kehakiman serta badan kerajaan persekutuan lain mengesahkan kesimpulan itu dalam beberapa dekad lalu.
Tinjauan pendapat menunjukkan ramai rakyat AS percaya kematiannya adalah akibat konspirasi yang lebih luas.
Setiausaha kesihatan yang bakal dilantik Trump, Robert F Kennedy Jr. berkata, beliau percaya CIA terlibat dalam kematian JFK yang juga bapa saudaranya, satu dakwaan yang disifatkan oleh agensi itu sebagai tidak berasas.
Kennedy Jr juga berkata, beliau turut percaya bapanya, Robert Kennedy dibunuh oleh beberapa lelaki bersenjata tetapi dakwaan itu bercanggah dengan akaun rasmi kerajaan.-AGENSI











