Lebih 19.5 juta rakyat Yaman hidup daif - Utusan Malaysia

Lebih 19.5 juta rakyat Yaman hidup daif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Tahun ini bakal menyaksikan lebih 19.5 juta orang di Yaman hidup dalam kedaifan dan amat memerlukan bantuan dengan ratusan ribu kanak-kanak berisiko mengalami kekurangan zat makanan, lapor pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ketua Interim Agensi Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), Joyce Msuya berkata, krisis kemanusiaan di negara itu dijangka semakin buruk, memetik rayuan kemanusiaan yang disatukan organisasi itu untuk tahun 2025.

“Rakyat Yaman terus menghadapi krisis kemanusiaan dan perlindungan yang teruk. Kira-kira 17 juta orang atau hampir separuh penduduk negara itu tidak dapat memenuhi keperluan makanan asas mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sekurang-kurangnya 19.5 juta orang di Yaman memerlukan bantuan kemanusiaan dan perlindungan tahun ini, meningkat lebih 1.3 juta berbanding 2024,” katanya.

Selain itu, dianggarkan 4.8 juta orang masih kehilangan tempat tinggal, majoritinya wanita dan kanak-kanak.

Hampir separuh daripada kanak-kanak di bawah umur lima tahun turut mengalami masalah bantut sederhana hingga teruk disebabkan oleh kekurangan zat makanan ketika sistem kesihatan negara yang tertekan dibebani oleh tahap ‘mengerikan’ wabak kolera.

Utusan Khas PBB ke Yaman, Hans Grundberg yang baru sahaja melawat ibu kota Sanaa yang dikawal oleh pemberontak Houthi disokong Iran, menekankan keperluan untuk meredakan ketegangan dan usaha berterusan ke arah keamanan.

“Keperluan untuk menangani krisis di Yaman menjadi semakin mendesak kerana kestabilan serantau turut bergantung kepada usaha mencapai keamanan di negara itu,” katanya.

Yaman berperang sejak 2014, apabila Houthi memaksa kerajaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa keluar dari Sanaa dan kumpulan itu juga telah merampas pusat penduduk di utara.

Gencatan senjata yang diusahakan PBB pada April 2022 berjaya mengurangkan pertempuran dan pada Disember 2023 pihak bertelagah komited dalam proses damai.

Tetapi ketegangan kembali meningkat semasa perang Israel-Hamas di Gaza, ketika Houthi menyerang sasaran Israel serta perkapalan antarabangsa di Laut Merah dan Teluk Aden dalam kempen solidariti dengan rakyat Palestin.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini