PETALING JAYA: Belanjawan Madani Kelima yang dibentangkan di Dewan Rakyat berteraskan usaha mengangkat martabat negara dan rakyat menerusi janji bersama di bawah Waad Nasional.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Waad Nasional menjadi payung belanjawan kali ini dengan Kerajaan Madani memikul amanah untuk meringankan beban rakyat serta membuka peluang, manakala rakyat menggembleng ilmu, usaha dan kecemerlangan.
“Setinggi mana pun cita-cita negara, kemajuan mesti berakar pada keperluan rakyat demi kehidupan yang lebih bermaruah serta masa depan lebih baik buat generasi akan datang.
“Negara ini mesti mekar dan mencakup kepentingan semua, dan saya yakin semua menggarap semangat kolektif ini demi negara tercinta,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini. –UTUSAN











