TEBING BARAT: Kepulangan 90 tahanan yang dibebaskan daripada penjara Israel disambut tangisan kegembiraan sanak saudara, rakan taulan dan ribuan penduduk Palestin yang berhimpun di Tebing Barat sejak awal pagi semalam.
Mereka tiba di Tebing Barat yang diduduki dalam pertukaran tahanan pertama gencatan senjata Hamas-Israel berikutan pembebasan tiga tebusan di Gaza.
TANGISAN GEMBIRA
Kira-kira pukul 1 pagi (waktu tempatan) semalam, bas Palang Merah yang membawa 90 banduan Palestin tiba di Ramallah di Tebing Barat di mana mereka disambut meriah walaupun terdapat amaran daripada tentera Israel bahawa perayaan tidak akan dibenarkan.
Rakyat Palestin yang dibebaskan termasuk 69 wanita dan 21 remaja lelaki dengan ada yang seawal 12 tahun dari Tebing Barat dan Baitulmuqaddis yang diduduki.
Antaranya ialah Khalida Jarrar, 62, seorang ahli terkemuka Barisan Popular bagi Pembebasan Palestin berhaluan kiri, yang ditahan rejim selama lebih enam bulan dalam kurungan bersendirian di bawah penahanan pentadbiran tanpa sebarang pertuduhan.
Di bandar Ramallah, orang ramai menjulang banduan yang pulang di atas bahu mereka sebagai tanda sokongan penuh emosi dengan sebahagiannya membawa bendera Fatah, Hamas, Jihad Islam Palestin dan kumpulan bersenjata lain.
Tujuh jam sebelum itu, tiga tebusan wanita Israel berusia pertengahan 20-an hingga awal 30-an telah dibebaskan di Gaza.
Bushra al-Tawil, seorang wartawan Palestin yang dipenjarakan di Israel pada Mac 2024 merupakan antara tahanan yang dibebaskan semalam.
Bushra berkata, perjalanannya bermula pada pukul 3 pagi Ahad (waktu tempatan) selepas dia dipindahkan ke penjara lain dan kemudian dikumpulkan bersama beberapa lagi warga Palestin yang turut menunggu untuk dibebaskan.
“Penantian itu amat sukar. Tetapi alhamdulillah, kami pasti pada bila-bila masa kami akan dibebaskan,” katanya.
Menurut Bushra, bapanya yang juga berada di penjara Israel akan dibebaskan tidak lama lagi.
“Saya risaukan dia. Dia masih banduan, tetapi saya baru menerima berita baik bahawa dia akan dibebaskan sebagai sebahagian daripada perjanjian ini,” tambahnya.
Jumlah sebenar rakyat Palestin yang akan dibebaskan sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata masih tidak diketahui, dengan anggaran yang dilaporkan antara kira-kira 1,000 hingga hampir 2,000 orang.
Dalam fasa pertama perjanjian itu, Hamas dijangka memulangkan sejumlah 33 tebusan Israel dalam tempoh 42 hari akan datang dengan pembebasan seterusnya akan dijadualkan pada hari Sabtu.
Fasa kedua rundingan gencatan senjata akan dimulakan dalam masa dua minggu lagi.
JERITAN DUKA
Berbeza dengan keluarga al-Qidra yang berdepan 15 bulan serangan Israel di Gaza apabila kegembiraan membuat persiapan pulang selepas mendapat berita gencatan senjata direntap sekelip mata.

Mereka telah berpindah beberapa kali, terpaksa tinggal di dalam khemah dan saudara-mara mereka adalah antara lebih 46,900 rakyat Palestin yang dibunuh oleh Israel.
Tetapi keluarga al-Qidra terselamat dan tidak sabar mahu kembali ke kampung halaman mereka.
Ahmed al-Qidra membawa tujuh anaknya ke dalam kereta keldai dan menuju ke timur Khan Younis ketika menyangka keadaan sudah selamat mengikut waktu gencatan senjata sepatutnya dijadualkan bermula.
Tetapi keluarga itu tidak tahu bahawa gencatan senjata antara Israel dan Hamas telah ditangguhkan dan pesawat Israel masih terbang di atas langit Gaza, bersedia untuk menggugurkan bom mereka.
Isteri Ahmed, Hanan mendengar letupan kuat ketika dia masih berada di rumah saudaranya di tengah bandar untuk mengatur barang-barang mereka yang lain.
“Letupan itu terasa seperti terkena jantung saya,” kata Hanan yang dapat merasa sesuatu berlaku kepada anak-anak dan suaminya yang baru sahaja melambai ke arahnya sebelum bergerak keluar.
“Saya melihat adik saya Sama dan Adly terbaring di atas tanah dan bapa saya berdarah dan tidak sedarkan diri di atas troli kereta keldai,” kata anak Hanan, Yasmin.
Yasmin menarik adiknya Aseel yang berusia lapan tahun sebelum peluru berpandu kedua mengenai tempat mereka berada namun Mohammed yang berusia 11 tahun juga terselamat.
Tetapi Ahmed, bapa Yasmin dan pasangan hidup Hanan, disahkan meninggal dunia di hospital.
Ketika duduk di tepi katil hospital anak perempuannya Iman yang cedera di Hospital Nasser Khan Younis, Hanan masih terkejut dan tertanya apa yang berlaku kepada keluarganya.
“Di manakah gencatan senjata?” Hanan bertanya.
Hanan tidak menyangka dalam tempoh tiga jam penangguhan gencatan senjata yang diumumkan Presiden Israel, Benjamin Netanyahu atas alasan menunggu senarai tebusan dari Hamas, tiga ahli keluarganya turut gugur bersama 19 rakyat Palestin yang terbunuh oleh serangan rejim.-AGENSI











