SAM FC juara sulung kejohanan bola sepak 4 penjuru anjuran JKKP

SAM FC juara sulung kejohanan bola sepak 4 penjuru anjuran JKKP

SAM FC meraikan kejuaraan sulung Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru anjuran Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP) di Putrajaya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pasukan bola sepak Persatuan Penulis Penulis Sukan Malaysia (SAM FC) muncul juara Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru yang dianjurkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (JKKP) di Padang Bola Sintetik Presint 4, Perbadanan Putrajaya, semalam.

Saingan membabitkan empat pasukan terdiri daripada JKKP, SAM, Persatuan Keselamatan & Kesihatan Perindustrian Malaysia (MiSHA) dan Gadang Holding Berhad.

SAM FC yang dianggotai kakitangan dari beberapa organisasi media sukan tempatan dan bekas atlet negara memperagakan aksi menakjubkan apabila menang kesemua aksi dilalui untuk mengumpul sembilan mata maksimum sekali gus bergelar juara sulung kejohanan itu.

Malah, SAM FC juga muncul satu-satunya pasukan yang tidak dibolosi dengan merekodkan jumlah jaringan sebanyak enam gol.

Rentak kemenangan SAM FC bermula pada aksi pertama apabila membenam Gadang Holding 2-0, sebelum tampil lebih garang dalam perlawanan kedua dengan menewaskan MiSHA 3-0 disusuli aksi terakhir menumbangkan JKKP 1-0.

Menurut penganjur kejohanan, TS Abd Mutalib Abd Gapar, kejohanan ini bukan sekadar perlawanan bola sepak biasa, tetapi bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara pihak media, pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan, serta pihak kerajaan dan pemain-pemain industri di Malaysia.

Katanya lagi, ia adalah inisiatif pertama seumpamanya yang diadakan di negara ini.

“Tujuan utama penganjuran kejohanan ini adalah untuk merapatkan hubungan di antara pihak media dan pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan, di samping menyebarkan mesej-mesej penting mengenai keselamatan dan kesihatan pekerjaan di dalam industri sukan,” katanya.

Kejohanan ini dirasmikan oleh Ketua Pengarah JKKP Malaysia, Ir Mohd Hatta Zakaria.

Dalam ucapannya, Mohd Hatta menegaskan bahawa kejohanan ini adalah platform yang sangat baik untuk menggalakkan kerjasama antara pelbagai pihak, terutama dalam aspek keselamatan di tempat kerja yang sering kali menjadi fokus utama dalam setiap sektor industri.

“Kita perlu memahami bahawa keselamatan dan kesihatan pekerjaan bukan hanya isu yang perlu diberi perhatian di dalam industri tertentu sahaja, tetapi juga perlu diterapkan dalam setiap aspek kehidupan, termasuk dalam industri sukan,” kata Mohd Hatta.

Acara ini juga mendapat sambutan yang hangat daripada orang ramai, termasuk pengamal media, wakil-wakil kerajaan, serta pemain-pemain industri, yang turut mengambil peluang untuk berinteraksi dan bertukar pandangan mengenai isu-isu keselamatan pekerjaan yang semakin relevan dalam dunia industri moden hari ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×