TOKYO: Seorang pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah maut dan seorang lagi cedera selepas ditikam oleh seorang lelaki yang tidak dikenali di restoran makanan segera, McDonald’s, di wilayah Fukuoka, lapor media tempatan.
Menurut agensi berita Jiji, kedua-dua mangsa segera dikejarkan ke hospital sejurus kejadian, pada Sabtu malam.
Bagaimanapun, pelajar perempuan tersebut disahkan meninggal dunia, manakala pelajar lelaki dilaporkan masih sedarkan diri.
Kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 8.30 malam (waktu tempatan) dan suspek lelaki melarikan diri dari lokasi kejadian, menurut pihak polis.
Tambah laporan berita, suspek dipercayai bersenjatakan pisau semasa kejadian tersebut berlaku.
Jenayah kekerasan jarang berlaku di Jepun yang memiliki undang-undang kawalan senjata api yang ketat.
Namun, kes-kes tikaman pernah berlaku, termasuk pembunuhan bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe pada 2022.
Pada 2019, kejadian serupa berlaku di bandar Kawasaki, apabila seorang lelaki berusia 51 tahun menyerang sekumpulan kanak-kanak yang sedang menunggu bas.
Dalam insiden itu, dua orang termasuk seorang pelajar perempuan maut, manakala belasan yang lain mengalami kecederaan sebelum suspek menikam dirinya sehingga mati.
Polis kini sedang giat memburu suspek dalam kejadian di Kitakyushu, yang menggemparkan negara matahari terbit tersebut yang terkenal dengan kadar jenayah yang rendah.-AGENSI