PETALING JAYA: Sukan bola sepak di Malaysia khususnya skuad kebangsaan perlu melalui proses revolusi dan perubahan sekiranya mahu bersaing dengan pasukan lain di rantau ini.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, pasukan lain telah bergerak ke hadapan dan jika tidak seiring skuad negara akan ketinggalan.
“Saya hormat (Datuk) Santokh Singh sebagai legenda negara dan sudah tentu beliau memiliki pandangan tersendiri sebagai orang lama. Mungkin kenangan lama tu masih bersama dengan dia.
“Jadi, beliau bercakap tentang faktor masa dulu. Tapi sekarang ini bola sepak dah berubah. Kalau kita tak ikut perubahan-perubahan ini, saya fikir 10 tahun atau 20 tahun makin lama kita bukan makin maju tetapi makin mundur.
“Sebab inilah ada revolusi bola sepak dan kita kalau nak kekal bersaing, kita perlu buat perubahan dan mengikut perubahan,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab kritikan yang dilemparkan Santokh yang menganggap revolusi Harimau Malaya bagaikan tiada identiti apabila menggunakan ramai kepakaran luar negara dan pemain warisan.
Ketika ini, skuad kebangsaan sedang berada dalam fasa revolusi dalam usaha untuk meletakkan nama Malaysia setanding pasukan bola sepak lain di peringkat serantau dan antarabangsa.
Menurut Mohd Yusoff, bola sepak moden dan pada zaman sebelum ini sudah berubah dan menuntut revolusi sewajarnya.
“Kisah kejayaan bola sepak sebelum ini memang sesuatu yang semua orang suka dan dapat membakar semangat pemain baharu,” katanya.-UTUSAN










