KYIV : Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mendedahkan Russia telah menempatkan hampir 50,000 askar di Kursk, di wilayah selatan negara itu.
Wilayah itu pernah menyaksikan Kyiv melancarkan serangan balas mengejut pada musim panas lalu.
“Tentera Ukraine terus kekal bertahan bagi berdepan kumpulan musuh yang mempunyai kekuatan hampir 50,000 di Kursk,” kata Zelensky dalam satu hantaran di Telegram selepas menerima taklimat daripada Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Ukraine, Jeneral Oleksandr Syrskyi.
Kyiv melancarkan pencerobohan di wilayah Kursk, Russia pada Ogos lalu, yang mengejutkan Moscow dan sekutunya.
Ketika itu, Kyiv menjelaskan operasi itu adalah perlu kerana Russia dipercayai sedang merancang untuk melancarkan serangan baharu ke atas Ukraine dari wilayah tersebut.
Ia bertujuan untuk mewujudkan zon penampan bagi mengelakkan serangan rentas sempadan pada masa hadapan.
Serangan di Kursk adalah pencerobohan darat pertama oleh kuasa asing di wilayah Russia sejak Perang Dunia Kedua.
Tentera Ukraine bergerak pantas ke wilayah Russia dan setakat ini berjaya mengawal ratusan kilometer kawasan Russia.
Walaupun Russia berjaya merampas semula beberapa penempatan, garis kawalan hanya sedikit berubah dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Sementara itu, seorang komander Ukraine memberitahu CNN, askar Korea Utara mengambil bahagian dalam operasi tempur secara langsung di Kursk, serta operasi pertahanan di wilayah bersebelahan, Belgorod, Russia dan di kawasan yang diduduki Russia di Ukraine. -AGENSI










