Wawasan alu-alukan kerjasama semua di PRN Negeri Sembilan - Utusan Malaysia

Wawasan alu-alukan kerjasama semua di PRN Negeri Sembilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Wawasan Negara (Wawasan) mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama khususnya yang boleh menyatukan kuasa politik orang Melayu dalam pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Naib Presiden Wawasan, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, partinya akan membuat penampilan sulung dengan bertanding dalam PRN Negeri Sembilan.

Katanya, Wawasan ditubuhkan dengan semangat mahu menjadi ‘jambatan’ penyatuan dalam politik di Malaysia.

“Sudah tentu kita mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama yang boleh menyatukan kuasa politik orang-orang Melayu ter­utamanya.

“Saya harap semua pihak boleh berbincang untuk mengelak pertembungan. Kita tak mahu apabila kita bertembung, maka yang menang ialah Pakatan Harapan (PH),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, keikhlasan amat penting dalam proses rundingan bagi mengelakkan situasi yang berupaya menggagalkan penyatuan semata-mata disebabkan satu pihak mementingkan perkiraan sendiri.

Pada masa sama, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, buat masa ini proses pembahagian kerusi masih lagi dalam perundingan.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Penyelaras Wawasan Negeri Sembilan, Badrul Hisham Shahrin mendedahkan pihaknya sedang berunding dengan semua parti kecuali PH bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.

Beliau juga tidak menafikan bahawa rundingan turut melibatkan Barisan Nasional (BN) selepas melihatkan strategi memberi sokongan kepada calon BN di PRN Johor memberi kemenangan besar baru-baru ini.

Pada masa sama, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga bersedia menerima calon Menteri Besar Negeri Sembilan daripada UMNO, sekiranya kerjasama antara kedua-dua parti berjaya dimuktamadkan dan seterusnya memenangi PRN yang berlangsung 1 Ogos ini.

Beliau mendakwa, rundingan berkaitan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi antara kedua-dua pihak sedang berjalan dan beliau menyifatkannya sebagai sangat positif. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN