Pulau Redang di Terengganu selama ini dikenali sebagai antara permata pelancongan marin negara. Airnya jernih, terumbu karang yang mempesona dan kepelbagaian hidupan laut menjadikan pulau ini destinasi impian pencinta alam.
Namun, di sebalik panorama indah itu, Pulau Redang sebenarnya memikul beban yang tidak kelihatan di permukaan.
Arus laut tanpa henti membawa bersama sisa plastik, tali, botol, lampin pakai buang dan pelbagai sampah marin sebelum pulau ini menjadi benteng terakhir yang memerangkap segala ‘kiriman’ tersebut.
Laut yang sepatutnya menjadi nadi kehidupan kini perlahan-lahan berubah menjadi tempat persinggahan sampah.
Realiti itu mendorong Persatuan Penyelam Konservasi BEST Malaysia (BEST) menganjurkan Program PADI AWARE Dive Against Debris Fasa 4 di Pulau Redang pada 26 hingga 29 Jun lalu.
Dalam aktiviti itu berjaya mengumpul 56.06 kilogram (kg) sisa marin dan 400.13kg dipungut di kawasan pantai.

Program itu menghimpunkan hampir 200 sukarelawan termasuk 31 daripadanya merupakan penyelam daripada pelbagai agensi kerajaan, universiti, sektor korporat, komuniti setempat dan peserta antarabangsa dari Bangladesh, Pakistan, Somalia serta China untuk membersihkan dasar laut, pantai dan menyemai kesedaran alam sekitar.
Program ini merupakan kesinambungan usaha yang bermula di Pulau Perhentian sejak 2023 sebelum diperluaskan ke Pulau Redang pada tahun ini.
Menurut Pengarah Projek BEST, Mohd. Ariff Ismail, misi mereka bukan sekadar mengutip sampah kerana setiap sisa yang berjaya dinaikkan akan diasingkan mengikut kategori sebelum direkodkan dan dihantar ke pangkalan data global Padi Aware Foundation.

Data tersebut kemudiannya disalurkan kepada Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) bagi membantu penyelidik dan pembuat dasar memahami corak pencemaran marin di seluruh dunia.
“Pendekatan itu membuktikan usaha kecil di sebuah pulau mampu menyumbang kepada penyelesaian isu alam sekitar di peringkat antarabangsa. Seperti yang sering dipegang oleh program ini, local action, global impact,” katanya.
Ujar Mohd. Ariff, aktiviti pembersihan tidak dilakukan secara rambang sebaliknya pasukan penyelam terlebih dahulu menjalankan tinjauan bagi mengenal pasti lokasi yang menjadi tempat pengumpulan sampah sebelum kawasan itu dijadikan tapak angkat dan dipantau secara berkala.

“Pendekatan berasaskan data itu membolehkan perubahan di sesuatu lokasi dinilai dari semasa ke semasa,” katanya.
Lebih membimbangkan, sebahagian besar sampah yang ditemui di sekitar Pulau Redang bukan sahaja datang daripada aktiviti tempatan, malah dibawa arus laut dari luar negara. Akibatnya, timbunan sisa terkumpul di pesisir dan dasar laut, sekali gus mengancam ekosistem marin.
Berbeza dengan kebanyakan pertubuhan konservasi lain, BEST memilih untuk memberi tumpuan khusus kepada pengurusan sampah marin.
Ini sekali gus melahirkan lebih ramai penyelam sukarelawan yang terlatih dianggap sebagai penyelesaian paling mampan supaya kerja pembersihan dapat diteruskan secara berkala tanpa bergantung kepada program tahunan semata-mata.
Pada masa sama, program itu turut melibatkan sukarelawan bukan penyelam yang membersihkan pantai, selain mengadakan sesi pendidikan alam sekitar di sekolah. Pendekatan tiga serangkai itu bertujuan membina budaya menjaga laut dalam kalangan komuniti pulau dan generasi muda kerana merekalah pewaris sebenar khazanah marin negara.
Semangat itu turut dirasai oleh sukarelawan daripada universiti tempatan.
Pelajar Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Wan Najjah Farah Ain Abdul Kahar menyifatkan penyertaannya sebagai peluang menyumbang kepada imej negara.
“Pulau yang bersih bukan sahaja mencerminkan sikap masyarakat terhadap alam sekitar, malah menjadi tarikan utama kepada pelancong dari seluruh dunia,” ujarnya.
Bagi seorang lagi sukarelawan, Abdul Fatah Ameen Mohd. Hamidi, yang juga dari Fakulti Pengajian Islam, UKM, aktiviti sebegini membuka mata tentang keadaan sebenar dasar laut Malaysia.

Abdul Fatah yang turut meminati dan pernah terlibat aktiviti selam skuba berharap aktiviti pembersihan dasar laut ini bukan sahaja menjadi komitmen pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti BEST tetapi tanggungjawab semua pihak.
“Saya juga berharap aktiviti sebegini memberi kesedaran kepada lebih ramai masyarakat, khususnya dalam kalangan mahasiswa tentang kepentingan menjaga laut kerana akhirnya ia melibatkan sumber makanan manusia.,” jelasnya.
Peserta antarabangsa dari Nigeria yang menuntut di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Fatima Zahra pula menyifatkan program tersebut sebagai pengalaman yang tersusun, bermakna dan membuktikan sukarelawan daripada pelbagai negara mampu bekerjasama demi satu matlamat yang sama, iaitu memelihara lautan.

“Semua pulau memerlukan tindakan yang konsisten. Keindahan pulau ini tidak akan kekal hanya dengan gambar-gambar indah di media sosial tetapi melalui kesanggupan manusia mengembalikan hak laut untuk kekal bersih,” katanya.
Bagi pelajar antarabangsa Ahmad Ali Ahmad daripada Somalia yang menuntut di Fakulti Ekonomi, UPM berasa gembira dan bersyukur menjadi sebahagian daripada program ini.
Katanya, walaupun kali pertama menyertainya, namun pengalaman ini membuka peluang untuk dirinya melihat sendiri sebesar mana pencemaran yang berlaku dan kesannya kepada alam sekitar, marin mahupun kehidupan.










