Menumpang kasih bapa tiri

Menumpang kasih bapa tiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minggu ini saya kongsikan kisah Aina (bukan nama sebenar), wanita yang dahulunya tidak pernah menyangka mempunyai seorang bapa tiri.

Selepas bertahun-tahun melihat ibu menderita dalam perkahwinan pertama, dia berasa ibu berhak untuk bahagia.

Namun dalam fikiran Aina, kebahagiaan itu hanya perlu datang dari dirinya sahaja.

“Saya mahu jadi pelindung ibu dan hanya saya yang boleh membahagiakan ibu,” ujarnya memulakan perbualan dalam pertemuan baru-baru ini.

Menurut Aina, pada awalnya perasaan terhadap kehadiran seorang bapa tiri penuh dengan keraguan dan kebimbangan.

“Saya bimbang tentang perubahan yang bakal berlaku dalam keluarga kami . Namun perlahan-lahan saya mula menyedari betapa istimewa bapa tiri dalam hidup saya,” katanya.

Kata Aina, bapa tirinya, Rahmat (bukan nama sebenar), seorang lelaki yang penyayang dan penyabar.

Dia tidak pernah memaksa Aina menerima kehadirannya.

Sebaliknya, memberi ruang dan peluang untuk menyesuaikan diri dengan kehadirannya.

“Bapa tiri sentiasa ada, tanpa perlu saya minta, sedia mendengar dan memberi nasihat.

“Apabila ada masalah, dia orang pertama yang cuba membantu mencari penyelesaiannya, tanpa sebarang syarat atau meminta balasan.

“Paling terharu apabila dia menghormati perasaan saya, terutama berkaitan denga ayah kandung.

“Dia tidak pernah cuba mahu menggantikan tempat ayah, tetapi lebih kepada mahu menambah kasih sayang dalam hidup saya,” ujarnya sambil memberitahu pada hujung November ini genap 10 tahun usia perkahwinan ibu dan bapa tirinya.

Mengimbas kisah lalu, kata Aina, ketika masih kecil, keluarganya tidak seperti keluarga orang lain.

Bapa kandungnya, Shamsudin (bukan nama sebenar), seorang yang panas baran dan sering melepaskan kemarahan kepada ibu.

Aina sering melihat ibu menangis, menahan kesakitan dan air mata, tetapi tetap kuat kerana anak.

“Saya masih ingat , setiap kali ayah pulang dalam keadaan marah-marah, saya benar-benar takut. Apa yang saya harapkan agar ayah tidak memukul ibu, namun sebaliknya,’’ ceritanya.

Masih segar dalam ingatan Aina yang tidur dengan linangan air mata selepas melihat ibunya dipukul.

Katanya, bertahun-tahun ibu menahan seksa.

Selepas tamat sekolah rendah, Aina memasuki asrama penuh.

Pada awalnya dia menolak tawaran itu kerana enggan berpisah dengan ibunya.

Namun, akhirnya Aina akur dengan kehendak ibunya yang mahu memastikan dia dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran.

Semasa di tingkatan dua, dia mendapat tahu orang tuanya berpisah selepas tidak tahan dengan perlakuan bapa yang selalu memukul dan menghina ibu.

Kata Aina, keputusan itu tidak mudah, tetapi disifatkan yang terbaik untuk ibu.

“Ibu seorang wanita yang tabah. Selepas berpisah, ibu berusaha membina hidup baharu dan mencari pekerjaan.

“Walaupun tinggal di asrama saya cukup rapat dengan ibu. Hampir setiap minggu saya pulang menemani ibu di rumah,” ujarnya.

Dua tahun selepas perpisahan itu, ibu bertemu dengan seorang lelaki.

Pada mulanya, Aina tidak selesa dan bersetuju ibunya berkahwin semula.

“Ketika itu saya merasakan ibu adalah milik saya. Apa yang saya bimbangkan, lelaki itu akan melukakan hati ibu sama seperti bapa kandung dahulu.

“Setiap kali bapa tiri datang bersama ibu melawat saya di asrama saya menunjukkan protes dan tidak selesa.

“Malah setiap kali pulang ke rumah, saya sering merungut pada ibu, berharap lelaki itu akan menamatkan hubungan tersebut.

“Namun perasaan benci itu berubah sedikit demi sedikit,” ujarnya.

Kata Aina, hatinya tersentuh selepas melihat keikhlasan bapa tiri menyayangi ibu yang tidak pernah dilihat dan dirasai sebelum ini.

Bahkan, bapa tirinya selalu ada ketika ibu memerlukan bantuan termasuk menghantar ke tempat kerja di samping sering menunjukkan perhatian dan kasih sayang yang tidak pernah dinikmati daripada bapa kandungnya dahulu.

“Dia seorang yang lemah-lembut, penyayang, tidak pernah meninggikan suara dan sentiasa mengambil berat terhadap ibu serta saya.

“Yang paling mengharukan, bapa tiri memperlakukan saya seperti darah daging sendiri.

“Walaupun saya pernah berkasar dan kurang sopan dengannya, dia tetap sabar,” ujarnya.

Lama- kelamaan Aina mula sedar, yang kasih sayang sebenar tidak semestinya daripada darah daging sendiri.

Bapa tirinya itu berjaya membuktikan yang cinta dan kasih kepada keluarga boleh wujud tanpa ikatan darah.

Paling penting, kehadiran lelaki itu turut membuatkan ibunya lebih tenang, ceria, bersemangat dan bahagia.

“Saya tidak lagi takut melihat ibu terluka seperti dahulu.

“Selepas menerima kehadiran bapa tiri dalam hidup kami, saya mulai memanggilnya dengan panggilan `ayah’.

“Ibu berhak bahagia dan saya juga berhak mendapat kasih sayang seorang lelaki bergelar bapa,” ujarnya.

Tambah Aina lagi, bermula daripada seorang lelaki asing yang pada awalnya disangka akan memusnahkan hidup mereka anak-beranak, kini menjadi pelindung yang dihormati.

Kisah dikongsikan Aina ini memberi pengajaran yang kasih sayang seorang bapa tidak semestinya berasal daripada ikatan darah daging.

Kadangkala orang yang kita tidak sangka-sangka dan benci itulah yang hadir untuk menyembuh luka serta mengembalikan kebahagiaan dicari.

Sesungguhnya setiap ujian Allah itu ada hikmah di sebaliknya.

Dari Anas r.a. berkata, Rasullullah SAW bersabda, “Sesungguhnya besarnya ganjaran tergantung dari besarnya ujian, dan apabila Allah cinta kepada suatu kaum itu Dia akan menguji mereka, barang siapa yang reda, maka baginya keredaan Allah, namun barang siapa yang murka, maka baginya kemurkaan Allah.” ( Hadis riwayat Imam Tirmidzi).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×