Perang Israel di Lubnan jejas lebih 400,000 kanak-kanak - UNICEF

Perang Israel di Lubnan jejas lebih 400,000 kanak-kanak – UNICEF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIRUT: Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) memberi amaran Lubnan berisiko kehilangan generasi ekoran bergelut dengan pelbagai krisis dan kini berada dalam kancah peperangan.

Ini berikutan, lebih 400,000 kanak-kanak di Lubnan terpaksa dipindahkan dalam tempoh tiga minggu lalu, susulan serangan dan pengeboman Israel di negara itu.

Kebimbangan itu disuarakan Timbalan Pengarah Eksekutif UNICEF bagi Tindakan Kemanusiaan, Ted Chaiban, selepas melawat sekolah yang dijadikan tempat perlindungan untuk menampung penduduk hilang tempat tinggal.

“Apa yang mengejutkan saya ialah perang ini baru tiga minggu dan sudah begitu ramai kanak-kanak yang terkesan.

“Setakat hari ini, 1.2 juta kanak-kanak dinafikan hak pendidikan. Sekolah-sekolah awam mereka sama ada tidak dapat diakses, rosak akibat perang atau digunakan sebagai tempat perlindungan,” katanya kepada The Associated Press di Beirut.

Beliau berkata, walaupun beberapa sekolah swasta Lubnan masih beroperasi, sistem sekolah awam terjejas teruk akibat perang, termasuk golongan yang paling terdedah seperti pelarian Palestin dan Syria.

“Apa yang membimbangkan saya ialah ratusan ribu kanak-kanak Lubnan, Syria dan Palestin berisiko keciciran,” katanya.

Chaiban berkata, kanak-kanak yang dipindahkan terpaksa bersesak di tempat perlindungan yang menempatkan tiga hingga empat keluarga di dalam satu bilik darjah dan 1,000 orang berkongsi 12 tandas, yang tidak semuanya berfungsi.

“Ramai juga keluarga yang dipindahkan mendirikan khemah di tepi jalan atau di pantai awam.

“Kebanyakan kanak-kanak yang dipindahkan menyaksikan begitu banyak keganasan, termasuk bunyi tembakan atau peluru berpandu sehingga mereka ketakutan setiap kali terdengar bunyi yang kuat,” katanya.

Menurut Kementerian Kesihatan, lebih 2,300 orang di Lubnan terbunuh akibat serangan Israel, dengan hampir 75 peratus daripadanya direkodkan dalam tempoh sebulan lalu.

Dalam tiga minggu terakhir, lebih 100 kanak-kanak terbunuh dan lebih 800 lagi cedera, menurut Chaiban.- AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN