MARDI bakal perkenal benih padi tahan kemarau, tenggelam

MARDI bakal perkenal benih padi tahan kemarau, tenggelam

PESAWAH ‘gulung tikar’ jika harga belian padi kekal RM1,300. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) giat membangunkan benih padi tahan kemarau dan tenggelam bagi membantu pesawah menghadapi cabaran perubahan iklim.

Projek itu dibiayai melalui dana pembangunan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dan diteruskan pada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Tiga varieti padi baharu iaitu MR380, MR381 dan MR382 kini di peringkat penilaian hasil lanjutan (LVT) dan kajian dijangka selesai pada 2025.

Selain itu, MARDI turut me­numpukan perhatian kepada projek perintis dan komersialisasi varieti tersebut bakal dilaksa­nakan pada Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) iaitu pada 2026.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, varieti padi itu dibangunkan dengan gen toleran terhadap kemarau sederhana yang mampu bertahan kurang daripada 30 hari tanpa hujan dan masih menghasilkan padi sekitar empat tan per hektar.

Menurut beliau, varieti padi toleran kemarau ini penting kerana perubahan iklim yang menyebabkan kemarau berpanjangan boleh mengurangkan bekalan air semasa peringkat kritikal pertumbuhan padi.

“Dengan menggunakan varieti ini, pesawah dapat mengurangkan kos tambahan yang terpaksa dikeluarkan akibat kerosakan tanaman dan penurunan hasil semasa musim kemarau.

“Penggunaan varieti padi ini membolehkan mereka meneruskan aktiviti pertanian dengan lebih berkesan walaupun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain itu, Mohamad Zabawi berkata, pembangunan varieti padi yang toleran terhadap banjir pula masih dalam peringkat pembangunan dan dijangka lebih ditumpukan pada Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

Katanya, varieti padi ini akan dibangunkan dengan gen yang membolehkan padi bertahan dalam keadaan terendam air kurang daripada 14 hari.

“Varieti padi ini mempunyai keupayaan untuk hidup atau pulih semula selepas terdedah kepada banjir serta memberikan peluang lebih baik kepada pesawah untuk menuai hasil meskipun kawasan mereka dilanda banjir.

“Oleh itu, penggunaan varieti padi yang toleran terhadap banjir akan membantu meminimumkan kerugian yang dihadapi pesawah dan mengurangkan risiko kehilangan pendapatan,” jelasnya.

Pada 14 Ogos lalu, MARDI memperkenalkan dua varieti padi wangi spesialiti baharu berkualiti tinggi untuk meningkatkan hasil dan pendapatan pesawah di negara ini.

Dua padi wangi tempatan ia­itu MRQ 107 dan MRQ 111 dilihat mampu menjana hasil tuaian melebihi lima metrik tan per hektar dengan pengurusan yang baik.

Malah, hasil penyelidikan sejak 2010 mendapati kedua-dua varieti ini mempunyai tahap kerintangan yang baik terhadap penyakit karah daun dan karah tangkai serta sesuai untuk dijadikan beras rebus yang mana ia sangat diperlukan oleh pengguna yang mementingkan nilai pemakanan sihat.

MRQ 107 boleh dituai dalam tempoh 112 hingga 115 hari selepas tabur manakala MRQ 111 dapat dituai dalam tempoh 116 hingga 118 hari selepas tabur.

Kira-kira 5,915 hektar kawasan padi rosak di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) terutama di Kedah akibat ditenggelam banjir baru-baru ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN