Kurang bekalan air, padi baru ditanam terbantut

Kurang bekalan air, padi baru ditanam terbantut

PESAWAH di Bagan Serai menunjukkan petak sawah yang kering di kawasan yang baru ditanam anak padi berikutan kekurangan bekalan air dari Tasik Bukit Merah yang mengalami penyusutan disebabkan musim panas. – UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Pesawah di sini berdepan masalah padi yang baru ditanam kira-kira 50 hari terbantut pembesarannya berikutan kekurangan bekalan dari ke sawah disebabkan Tasik Bukit Merah surut akibat musim panas.

Pesawah yang juga Ketua Unit Peladang Kawasan Parit Haji Ali di sini, Muhammad Zaini Saarani berkata, keadaan lebih meruncing jika musim panas berterusan menyebabkan bekalan air ke sawah tidak dapat dibekalkan.

Menurutnya, masalah ke­kurangan air untuk tanaman padi berlaku setiap tahun apabila musim panas disebabkan penyusutan paras air Tasik Bukit Merah.

“Saya sifatkan situasi yang dihadapi oleh pesawah ketika ini amat kritikal apabila tanaman padi terbantut akibat kekurangan air sedangkan benih sudah ditabur kira-kira 50 hari lalu.

“Sekarang adalah tempoh padi memerlukan banyak air sedangkan bekalan air yang diterima tidak cukup. Mulai dari proses menabur benih sehingga sekarang kami mengalami kekurangan air menyebabkan pembesarannya terjejas.

“Meskipun minggu lalu ada hujan di sini tetapi tidak ba­nyak membantu. Disebabkan kekurangan air, rumput sudah kembali tumbuh di petak sawah dan menambahkan lagi beban kos kepada kami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau berkata, pesawah meminta kerajaan menetapkan jadual pelepasan air dengan le­bih adil akibat Tasik Bukit Merah kekurangan air ketika ini.

Katanya, pesawah menca­dangkan supaya jadual pele­pasan air dari Empangan Bukit Merah dibuat sebulan lebih awal bagi membolehkan air sampai ke kawasan mereka dan mencukupi untuk semua kawasan terlibat.

“Kami bukan minta lebih, kami hanya mahu bekalan air yang cukup untuk menyelamatkan padi terutama ketika baru ditanam. Bayangkan enam musim kami gagal menuai padi, kos tetap keluar tapi hasil tiada,” katanya.

Seorang lagi pesawah, Mohd. Nazri Abu Bakar, 52, berkata, masalah yang dihadapi tidak akan selesai selagi tiada penyelesaian jangka panjang iaitu plaksanaan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah yang diumumkan kerajaan sebelum ini.

“Kami melihat hanya projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah sebagai penyelesaian masalah kekura­ngan air di sini dan berharap projek itu segera dilaksanakan,” katanya.

Pada Jun tahun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perbelanjaan kira-kira RM4 bilion bagi pelaksanaan projek penyaluran air mentah dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah di sini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN