SEOUL: Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik antara benua buat kali pertama dalam tempoh hampir setahun, hari ini.
Tindakan itu dikatakan bagi menguji kemungkinan senjata baharu yang lebih tangkas yang menyasarkan tanah besar Amerika Syarikat (AS), kata negara jirannya.
Pelancaran itu dibuat ketika Washington memberi amaran mengenai tentera Korea Utara yang memakai uniform Russia sedang menuju ke Ukraine, yang berkemungkinan menambah bilangan tentera Russia bagi menyertai perang.
Ia juga mungkin bertujuan untuk menarik perhatian AS, beberapa hari menjelang Pilihan Raya AS, Selasa depan.
Jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, Sean Savett berkata, pelancaran itu sebagai ‘pelanggaran terang-terangan’ terhadap beberapa resolusi Majlis Keselamatan PBB yang boleh menimbulkan ketegangan dan risiko menjejaskan kestabilan keselamatan rantau ini.
Jelasnya, AS akan mengambil semua langkah yang perlu bagi memastikan keselamatan tanah airnya dan sekutunya, Korea Selatan dan Jepun.
Sementara itu, Ketua Turus Bersama Korea Selatan berkata, Korea Utara mungkin telah menguji peluru berpandu balistik jarak jauh bahan api pepejal baharu.
Jurucakap JCS, Lee Sung Joon berkata, peluru berpandu dengan propelan pepejal terbina dalam lebih mudah untuk bergerak dan bersembunyi serta boleh dilancarkan lebih cepat daripada senjata propelan cecair.
“Pelancaran itu mungkin ditetapkan semasa Pilihan Raya AS dalam usaha untuk mengukuhkan kuasa tawar-menawar Korea Utara.
“Peluru berpandu itu dilihat dilancarkan pada sudut tinggi bagi mengelak negara jiran,” katanya.
Menteri Pertahanan Jepun, Jen Nakatani berkata, peluru berpandu itu mampu mencapai ketinggian maksimum melebihi 7,000 kilometer (km), melebihi data yang sepadan daripada ujian peluru berpandu Korea Utara sebelum ini.
Korea Selatan dan Jepun mengecam pelancaran peluru berpandu berkenaan kerana menimbulkan ancaman kepada keamanan antarabangsa.
Agensi Perisikan Korea Selatan memberitahu Korea Utara hampir melakukan ujian peluru berpandu jarak jauh yang mampu sampai ke AS dan berkemungkinan menyiapkan persiapan untuk ujian nuklear ketujuhnya. -AFP










