KOTA BHARU: Guru wanita yang tertekan pedal minyak kenderaan utiliti sukan (SUV) sehingga merempuh dan meragut nyawa pelajar Tingkatan Satu dan mencederakan seorang lagi pelajar di kawasan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas di sini pada 12 April lalu masih lagi trauma.
Suaminya yang mahu dikenali sebagai Abdul berkata, sejak kejadian itu, isterinya tidak lagi berani memandu kereta.
Katanya, tugas menghantar dan mengambil isteri dari tempat kerja dilakukannya setiap hari.
“Sejak kejadian April lalu, isteri tidak lagi memandu kereta kerana masih trauma dengan apa yang berlaku.
“Saya tidak mahu komen lanjut. Isteri akan bersara pada November tahun hadapan dan kini bertugas di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN),” katanya ketika ditemui semasa mengiringi isterinya menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Sebelum itu, Sakinah Ismail, 57, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan iaitu menyebabkan kematian pelajar tingkatan satu dan mencederakan seorang lagi pelajar lain akibat kecuaian dalam kejadian di kawasan surau SMK Tanjung Mas, di sini, pada 12 April lalu.
Tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Wan Mohd. I’zzat Wan Abdullah selepas kedua-dua pertuduhan berkenaan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan perbuatan cuai sehingga menyebabkan kematian pelajar perempuan Tingkatan Satu di kawasan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas jam 1.40 petang pada 12 April lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa cuai dengan melanggar pelajar seorang perempuan Tingkatan Satu menggunakan kenderaan Honda HRV sehingga membahayakan nyawa pada jam dan lokasi yang sama.-UTUSAN











