KUALA LUMPUR: Pelakon, Idan Aedan, mendedahkan pernah berdepan ugutan bunuh oleh beberapa individu di media sosial ketika namanya terpalit dengan kontroversi mengganggu tunang orang.
Memandang serius ugutan tersebut, Idan atau Muhammad Shahidan Abdullah, 23, mengambil langkah membawa kes ini menggunakan jalan undang-undang dengan melantik peguam.
“Ketika kisah itu sedang hangat diperkatakan, saya dapat banyak komen negatif dalam media sosial termasuklah ugutan bunuh.
“Disebabkan itulah saya ambil keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang dengan melantik peguam. Saya juga membuat laporan polis.
“Kalau komen-komen lain saya tak ambil pusing. Tetapi bila melibatkan ugutan bunuh, saya perlu ambik tindakan sewajarnya,” katanya.
Idan ditemui di sidang media pelancaran poster dan trailer filem Kacau, di TGV KLCC, semalam.
Mengulas mengenai hal itu, pelakon The Fox King itu berkata, ugutan tersebut datang daripada pelbagai akaun media sosial yang tidak dikenali, malah menggunakan dialek berbeza.
“Komen-komen itu dibuat secara rawak. Ada yang menggunakan dialek yang saya kurang faham.
“Jadi saya rujuk kepada rakan pelakon iaitu Evanattie Sannie yang berasal dari Sabah untuk faham apa yang mereka komen,” jelasnya.
Bagaimanapun, Idan berkata kes tersebut hampir sampai ke peghujungnya namun enggan berkongsi butiran dengan lebih terperinci.
Walaupun reputasi tercalar akibat dakwaan tersebut, Idan bersyukur kerana keluarganya memberikan sokongan padu kepadanya.
“Sejujurnya saya tak rasa isu ini beri kesan kepada kerjaya saya. Saya dan keluarga baik-baik sahaja. Kami teruskan hidup seperti biasa.
“Peminat-peminat pun okey sahaja dan mereka sangat menyokong kerjaya saya. Saya pun lebih fokus kepada kerja seni saya.
“Kalau boleh saya tak mahu terlampau negatifkan hidup saya walaupun ramai yang mencuba untuk jatuhkan saya,” kongsinya.
Terdahulu, Idan didakwa menjalin hubungan dengan wanita yang juga tunangan orang selepas muncul rakaman kononnya dia ke sebuah hotel bersama.
Idan bagaimanapun telah menafikan dakwaan tersebut dengan mengatakan video itu telah disunting. -UTUSAN











