WASHINGTON: Timbalan Presiden Amerika Syarikat (AS), Kamala Harris menjanjikan peluang ekonomi baharu untuk lelaki kulit hitam dalam usaha meraih kembali demografi penting itu kurang sebulan menjelang pilihan raya presiden 5 November ini.
Cadangan itu termasuk menyediakan pinjaman perniagaan kecil berjumlah AS1 juta (RM4.3 bilion) dan janji untuk menghalalkan ganja rekreasi selain memastikan usahawan kulit hitam mendapat akses kepada industri baharu.
Pengerusi bersama kempen Demokrat, Cedric Richmond berkata, Harris mahu membina ekonomi di mana lelaki kulit hitam dilengkapi dengan alat untuk memajukan diri, membeli rumah, menyediakan keperluan keluarga, memulakan perniagaan dan membina kekayaan.
“Lelaki kulit hitam merasakan sudah terlalu lama suara mereka dalam proses politik kita tidak didengari dan terdapat begitu banyak cita-cita dan kepimpinan yang belum diterokai dalam komuniti lelaki kulit hitam,” katanya.
Cadangan lain yang diperkenalkan oleh kempen itu termasuk meningkatkan akses kepada industri mata wang kripto untuk warga kulit hitam dan melancarkan inisiatif ekuiti kesihatan nasional bagi menangani penyakit seperti anemia.
Pengumuman itu dibuat ketika kempen Harris bimbang dengan kehilangan sokongan daripada golongan tersebut beberapa minggu sebelum beliau berentap menentang calon Republikan, Donald Trump dalam perlumbaan ke White House .
Menurut tinjauan baru-baru ini, 70 peratus pengundi lelaki kulit hitam berkata mereka akan menyokong Harris, turun daripada 85 peratus yang menyokong Presiden AS, Joe Biden dalam pilihan raya empat tahun lalu.
Menurut tinjauan pendapat oleh organisasi hak sivil kulit hitam terbesar negara itu, NAACP, lebih satu perempat lelaki kulit hitam berkata, mereka akan menyokong Trump dalam pilihan raya.
Trump dilaporkan cuba memikat pengundi kulit hitam dengan mengatakan mereka akan kehilangan pekerjaan kepada pendatang yang melintasi sempadan dan menjanjikan tindakan tegas terhadap golongan migran.-AGENSI










