WASHINGTON: Pengasas Amazon, Jeff Bezos, yang juga pemilik akhbar The Washington Post menjelaskan pendirian untuk tidak menyokong mana-mana calon dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat adalah keputusan yang berprinsip.
Beliau malah menafikan ia berkaitan dengan kepentingan peribadi.
Menerusi satu artikel yang disiarkan dalam laman web akhbar itu, Bezos berpendapat dengan penurunan kepercayaan terhadap media berita, langkah-langkah sewajarnya perlu diambil untuk menangani dakwaan berpihak.
“Kita tidak mahu mencipta persepsi berat sebelah. Persepsi tidak berdikari. Menghentikannya adalah keputusan yang berprinsip,” tulisnya.
Sebelum ini, lembaga editorial akhbar itu menyokong calon pilihan raya sejak empat dekad lalu dan semuanya adalah daripada kalangan calon Demokrat.
Akhbar itu kini memutuskan untuk tidak terlibat dalam pilihan raya yang paling memecahbelahkan dalam sejarah Amerika Syarikat (AS).
Calon Republikan, Donald Trump kini bersaing sengit untuk merebut jawatan Presiden dengan Naib Presiden AS, Kamala Harris.
Tinjauan menunjukkan kedua-duanya hampir seimbang di tujuh negeri pengundi yang mungkin menentukan keputusan pilihan raya.
Bezos juga menolak tuduhan keputusan tersebut dibuat untuk keuntungan peribadi, menafikan kebimbangan mengenai pertemuan antara CEO Blue Origin, syarikat angkasa lepas miliknya dengan Trump pada hari pengumuman tersebut.
“Saya juga ingin menjelaskan tiada sebarang ‘quid pro quo’ yang terlibat di sini. Tiada kempen atau calon yang dirujuk atau diberitahu pada sebarang tahap atau dengan cara apa pun mengenai keputusan ini,” tulisnya.
Bezos, yang membeli akhbar itu dengan AS$250 juta (RM1.09 bilion) pada 2013, mempunyai banyak syarikat lain, termasuk yang mempunyai kontrak besar dengan kerajaan AS.
Keputusan yang diumumkan Jumaat lalu, menerima kritikan daripada ramai pihak, termasuk pelanggan akhbar itu sendiri.
Akhbar itu dilaporkan kehilangan 200,000 pelanggan digital sejak pengumuman tersebut, yang mewakili lapan peratus daripada jumlah keseluruhannya.
Keputusan itu mengikuti langkah serupa oleh Los Angeles Times, sebuah lagi akhbar utama di AS. – AGENSI











