WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengumumkan akan menghantar tentera bersama sistem antipeluru berpandu canggih ke Israel.
Penempatan yang sangat luar biasa itu dilakukan untuk memperkuat pertahanan udara rejim Israel berikutan serangan peluru berpandu oleh Iran.
Presiden AS, Joe Biden berkata, langkah itu bertujuan untuk mempertahankan Israel yang dilaporkan sedang menimbang tindakan balas terhadap Iran selepas Teheran melepaskan lebih 180 peluru berpandu ke arah Israel pada 1 Oktober lalu.
PENEMPATAN LUAR BIASA
AS secara peribadi menggesa Israel menilai tindak balasnya bagi mengelak mencetuskan perang yang lebih luas di Asia Barat.
Malah, Biden secara terbuka turut menyuarakan bantahannya terhadap serangan Israel ke atas tapak nuklear Iran dan kebimbangannya tentang rancangan untuk menyasarkan infrastruktur tenaga Iran.
Jurucakap Pentagon, Mejar Jeneral Patrick Ryder menyifatkan penempatan itu sebagai sebahagian daripada penyesuaian lebih luas yang dilakukan oleh tentera AS dalam beberapa bulan kebelakangan ini untuk menyokong Israel dan mempertahankan kakitangannya daripada serangan Iran dan kumpulan yang disokong negara itu.
Tetapi penempatan tentera AS ke Israel jarang berlaku di luar latihan, melihatkan keupayaan ketenteraan Israel sendiri.
Tentera AS sejak beberapa bulan kebelakangan ini dilihat membantu pertahanan Israel daripada kapal perang dan jet pejuang di Asia Barat apabila ia diserang Iran tetapi mereka berpangkalan di luar Israel.
PERKUKUH THAAD DI ISRAEL
Sistem Terminal Pertahanan Kawasan Altitud Tinggi (THAAD) adalah bahagian penting dalam sistem pertahanan udara berlapis tentera AS dan menambah pertahanan antipeluru berpandu Israel yang sedia canggih.
Bateri THAAD biasanya memerlukan kira-kira 100 tentera untuk beroperasi, mempunyai enam pelancar yang dipasang pada trak dengan lapan pemintas pada setiap pelancar serta radar yang berkuasa.
Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi memberi amaran awal terhadap AS kerana meletakkan nyawa tenteranya dalam risiko dengan mengerahkan mereka untuk mengendalikan sistem peluru berpandu AS di Israel.
“Walaupun kami telah melakukan usaha yang hebat dalam beberapa hari kebelakangan ini untuk membendung perang habis-habisan di rantau ini, saya menyatakan dengan jelas kami tidak mempunyai garis merah dalam mempertahankan rakyat dan kepentingan kami,” kata Araqchi di laman X.
Namun, pakar menyifatkan Iran berusaha untuk mengelakkan perang langsung dengan AS, menjadikan penempatan tentera ke Israel itu satu lagi faktor dalam perkiraan mereka sebelum melancarkan serangan baharu.
Iran melancarkan peluru berpandu dan dron ke Israel pada April dan bertindak melepaskan lebih 180 peluru berpandu balistik di tengah-tengah peningkatan pertempuran antara rejim itu dengan kumpulan Hezbollah di Lubnan, awal bulan ini.
Sebahagiannya dilaporkan berjaya dipintas ketika dalam penerbangan tetapi ada yang menembusi pertahanan peluru berpandu.
Pegawai AS bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas seberapa cepat sistem THAAD akan digunakan di Israel.
Pentagon berkata, sistem itu sudah dikerahkan ke selatan Israel untuk latihan pada 2019, kali terakhir dan satu-satunya yang diketahui berada di negara itu,
Pengeluar senjata terbesar AS, Lockheed Martin membina dan menyepadukan sistem THAAD, yang direka untuk menembak jatuh peluru berpandu balistik jarak dekat, sederhana dan sederhana sementara Raytheon, di bawah syarikat RTX membina radar canggihnya.-REUTERS










