JAKARTA: Angkatan Tentera Nasional (TNI) yang terlibat dalam misi keamanan Pasukan Sementara PBB di Lubnan (UNIFIL) bersedia untuk memindahkan warga Indonesia dari negara konflik itu.
Menurut Ketua Pusat Penerangan TNI, Mejar Jeneral Hariyanto, pihak tentera menyediakan pelan kontigensi untuk kecemasan termasuk pemindahan.
Bagaimanapun, rancangan itu hanya boleh dilaksanakan selepas mendapat kebenaran daripada Komander Pasukan UNIFIL, Leftenan Jeneral Aroldo Azaro daripada Angkatan Tentera Sepanyol.
“Bagi pemindahan pelarian yang berada berhampiran sempadan Israel, kebenaran Panglima Angkatan UNIFIL perlu diperoleh, manakala penarikan balik anggota TNI kini menunggu keputusan daripada Komander Pasukan UNIFIL,” kata Hariyanto dalam kenyataan, kelmarin.
TNI dan Kementerian Luar Negeri mengadakan mesyuarat teknikal untuk membincangkan situasi semasa di Lubnan dan rancangan pemindahan warga Indonesia.
Pengarah Perlindungan Warganegara Indonesia dan Entiti Undang-Undang Kementerian, Judha Nugraha berkata, pasukan TNI di UNIFIL bersedia menyokong pemindahan rakyat sekiranya konflik antara Lubnan dan Israel semakin buruk.
Beliau berkata, terdapat kira-kira 155 warga Indonesia di Lubnan, kebanyakannya pelajar dan mereka yang berkahwin dengan rakyat tempatan.
Sehingga kini, 1,000 anggota TNI ditempatkan di Lubnan bersama UNIFIL.
Mereka berkhidmat di pelbagai unit UNIFIL, termasuk Pasukan Petugas Maritim (MTF), Pasukan Petugas Batalion Mekanik TNI (INDOBATT) dan Pasukan Petugas Unit Sokongan Ibu Pejabat (FHQSU).
Keadaan keselamatan di Lubnan semakin tegang berikutan serangan udara Israel di wilayah itu sejak awal minggu ini, menyasarkan kumpulan Hezbollah.
Menurut pihak berkuasa Lubnan, kira-kira 700 orang terbunuh dan lebih 2,000 orang awam cedera serta hilang tempat tinggal akibat serangan itu.- ANTARA










