ANKARA: Presiden Turkiye, Reccep Tayyip Erdogan menggesa negara-negara Islam membentuk pakatan bagi menentang ‘ancaman peluasan’ dari Israel.
Seruan itu selepas seorang wanita Turki-Amerika dibunuh oleh tentera Israel ketika menyertai tunjuk perasaan Jumaat lalu, menentang peluasan penempatan di Tebing Barat yang diduduki Israel.
“Satu-satunya langkah yang dapat menghentikan keangkuhan, kejahatan dan keganasan Israel adalah pakatan negara-negara Islam,” kata Erdogan semasa acara persatuan sekolah Islam di Istanbul.
Pada masa sama, beliau turut menggariskan langkah-langkah terkini yang diambil Turkiye untuk memperbaiki hubungan dengan Mesir dan Syria.
Jelasnya, ia bertujuan membentuk barisan solidariti menentang ancaman peluasan yang semakin meningkat, yang berupaya mengancam Lubnan dan Syria.
Recep Tayyip pada pertemuan bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, di Ankara, minggu ini turut membincangkan perang di Gaza serta kaedah bagaimana untuk memperbaiki hubungan yang sekian lama dingin dalam tempoh 12 tahun lalu.
Hubungan antara mereka mula renggang pada tahun 2020 apabila Turkiye memulakan usaha diplomatik untuk meredakan ketegangan dengan saingan serantau yang sudah lama renggang, termasuk Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi.
Pada Julai, Erdogan berkata bahawa Turkiye akan melanjutkan jemputan kepada Presiden Syria, Bashar al-Assad, “bila-bila masa” untuk mengadakan rundingan bagi memulihkan hubungan antara dua negara jiran itu, yang terputus pada tahun 2011 selepas tercetusnya perang saudara Syria.
Menteri Luar Israel, Israel Katz, dalam kenyataan menyifatkan ucapan Recep Tayyip sebagai pembohongan berbahaya dan hasutan.
Katz mendakwa pemimpin Turkiye itu menjalinkan kerjasama dengan Iran selama bertahun-tahun untuk melemahkan rejim-rejim Arab sederhana di rantau itu.
Tentera Israel berkata selepas insiden pada Jumaat bahawa mereka sedang menyiasat laporan bahawa seorang warga asing wanita “telah terbunuh akibat tembakan di kawasan itu. Butiran kejadian dan keadaan di mana dia terkena tembakan sedang dikaji.”
Tiada komen segera mengenai insiden tersebut dari pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.-REUTERS











