KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mencipta kejutan apabila menyingkirkan penyandang juara dunia dari Korea Selatan, Seo Seung Jae-Kang Min Hyuk pada aksi pusingan kedua Terbuka China 2024, semalam.
Keputusan itu menjadi tonik tambahan kepada beregu negara meskipun bergelut dengan prestasi ‘yo-yo’ sejak awal tahun ini.
Menurut Wei Chong berkata, kemaraan mereka ke suku akhir kejohanan berstatus Super 1000 itu bukan satu pencapaian yang mudah selepas cuba untuk bangkit selama beberapa kali sebelum ini.
“Kami berasa sangat gembira kerana kadang kala kami menang dan kalah. Namun pada kali ini kami bangkit semula.
“Saya rasa komunikasi kami di dalam gelanggang bertambah baik dan itu memberi faktor yang baik untuk kami mempamerkan aksi memberangsangkan perlawanan tadi (semalam),” kata Wei Chong kepada BWF sejurus tamat perlawanan.
Beregu No. 13 dunia itu, mencipta kejutan mara ke suku akhir Terbuka China 2024 selepas menewaskan gandingan pilihan ketiga kejohanan itu menerusi kemenangan straight set 21-18, 21-19.
Mengulas mengenai perlawanan itu, Wei Chong berpendapat pasangan Korea Selatan itu mengalami keletihan berikutan bermain di pentas final sebanyak tiga kali berturut-turut sejak Terbuka Jepun, Ogos lalu.
Katanya, itu merupakan salah satu peluang terbuka mereka menumpaskan Seung Jae-Min Hyuk dan ia adalah kemenangan kedua daripada lima pertemuan dengan kali pertama menundukkan juara dunia 2023 tersebut pada pusingan pertama Terbuka Indonesia, Jun lalu.
“Saya rasa mereka mungkin kepenatan sebab main di final untuk tiga kali berturut-turut. Kami hanya mempamerkan permainan terbaik kami di gelanggang dan cuba untuk memenangi perlawanan kami,” jelasnya.-UTUSAN