BEIRUT: Pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah menegaskan serangan alat kelui dan walkie-talkie terhadap anggota pejuangnya di Lubnan dan Syria minggu ini, melintasi ‘semua garis merah’.
Jelasnya, kumpulan itu berjanji akan bertindak balas dan menentang Israel sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin di Gaza.
Menerusi ucapan pertamanya dalam televisyen sejak serangan yang mengorbankan 37 orang, Hassan menggelar serangan itu sebagai ‘tamparan hebat daripada aspek keselamatan dan kemanusiaan’.
Ketika jet Israel melakukan ledakan sonik terhadap Lubnan semasa beliau berucap, Hassan menggelar letupan serentak pada Selasa dan Rabu sebagai ‘tindakan pengganas’ dan ‘pengisytiharan perang terhadap rakyat Lubnan dan kedaulatan negara’.
Beliau mengakui serangan itu ‘belum pernah berlaku dalam sejarah gerakan penentangan di Lubnan’ serta ‘dalam sejarah negara kita’ dan ‘musuh kita’.
Bagaimanapun, Hassan menegaskan Hezbollah akan terus menyokong rakyat Palestin di Gaza ‘tidak kira apa akibatnya, pengorbanan dan senario yang akan berlaku’.
“Dari 8 Oktober hingga sekarang, tentera Israel tidak menarik keluar mana-mana anggota tentera mereka di utara,” katanya.
Beliau malah memberi amaran terhadap warga Israel yang berpindah ke kawasan itu tidak akan dibenarkan pulang.
Hassan menjelaskan serangan yang berlaku langsung tidak memberi kesan kepada kawalan dan infrastruktur kumpulan itu.
“Saya bagi jaminan kepada anda, infrastruktur kami tidak disentuh,” katanya.
Serangan selama dua hari berturut-turut itu menyasarkan 4,000 alat kelui dan 1,000 walkie-talkie yang bertujuan membunuh seramai mungkin individu di Lubnan.
Peranti elektronik itu meletup di dalam hospital, pasar, rumah dan beberapa kawasan yang terdapat orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak.-AL JAZEERA










