IPOH: Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) mewujudkan Skim Bantuan Kebajikan Siswa Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) bagi membantu pelajar asnaf fakir miskin serta B40 yang terkesan akibat peningkatan kos sara hidup.
Menerusi skim tersebut, MAIPk menyerahkan bantuan berjumlah RM360,000 dipecahkan kepada lapan IPT di negeri itu yang memiliki Jawatankuasa Tabung Amanah Zakat (JKTAZ) masing-masing.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syamsul Hazeman Md. Salleh berkata, setiap IPT akan menguruskan sendiri dana bantuan tersebut untuk diagihkan secara tidak tetap kepada mana-mana pelajar yang memerlukan.
“Kita menggalakkan masyarakat supaya berzakat. Kami punya amanah adalah untuk menyampaikan dan memastikan supaya semua bantuan ini dapat diberi kepada golongan yang memang layak untuk menerima,” katanya semasa majlis simbolik penyerahan bantuan itu di sini hari ini.
Lapan IPT yang menyumbang kepada pungutan zakat dan mempunyai JKTAZ menerima manfaat skim tersebut ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Mara Seri Iskandar dan Tapah, Politeknik Ungku Omar (PUO) dan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS).
Tiga lagi ialah Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Kuala Lumpur RCMP (UniKL RCMP).
Pelaksanaan skim bantuan itu termasuk penyaluran kepada pelajar berkelayakan sebagai wang saku atau sara diri dan seterusnya JKTAZ perlu menghantar laporan perbelanjaan kepada MAIPk.
Syamsul Hazeman berkata, MAIPk akan terus mengkaji dari masa ke semasa bagi melihat kesesuaian sesuatu bantuan mengikut keadaan semasa.
Menurut majlis agama itu, perbelanjaan peruntukan zakat di bawah program pendidikan bagi tahun kewangan 2023 adalah sebanyak RM34.9 juta.
Sementara itu, mengenai keselamatan pelajar tajaan MAIPk di Asia Barat, Syamsul Hazeman berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan pegawai khas untuk mendapatkan perkembangan terkini kira-kira 246 pelajar khususnya di Mesir dan Jordan.
Jelasnya lagi, perkara itu juga dalam perhatian Kementerian Luar dan MAIPk akan mematuhi segala arahan kementerian berhubung pergolakan di rantau tersebut, susulan pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh pada 31 Julai lalu.-UTUSAN










