SEPANG: Pengurus SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin mengesahkan sekurang-kurangnya lima hingga enam pasukan Moto3 dan Moto2 sedang bersaing mendapatkan khidmat Hakim Danish Ramli bagi menghadapi Kejuaraan Motosikal Dunia, musim depan.
Menurut beliau, pasukan yang menunjukkan minat itu terdiri daripada pasukan berprofil tinggi dan serius mendapatkan khidmat pelumba Moto3 negara tersebut yang kini bernaung di bawah AEON Credit-MT Helmets-MSi.
“Sewaktu saya berada di Jerman, memang banyak pasukan datang berjumpa dan saya juga bertemu dengan mereka. Sasaran utama saya masih untuk berbincang dengan pasukan sekarang, tetapi pada masa sama saya melihat beberapa pilihan lain.
“Lebih kurang lima atau enam pasukan yang menunjukkan minat dan semuanya daripada kategori Moto3 serta Moto2.
“Saya tidak berunding dengan pasukan yang berada di bawah tahap MT Helmets-MSi kerana kalau nak berjaya, kita perlu berada dalam pasukan yang mampu bersaing merebut kejuaraan dunia,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Zulfahmi berkata, keputusan mengenai destinasi Hakim Danish musim depan tidak akan dibuat berdasarkan nilai kontrak semata-mata, sebaliknya mengambil kira aspek pembangunan pelumba itu, keserasian dengan pasukan dan peluang untuk melangkah lebih jauh sehingga ke kelas utama iaitu MotoGP.
Jelasnya lagi, ada pasukan yang ditemuinya sanggup menjanjikan laluan ke kelas perdana tersebut, tetapi, pengalaman mengajarnya supaya tidak mudah terpengaruh dengan janji manis di atas kertas.
“Dalam sukan permotoran, prestasi adalah segala-galanya. Kita tak boleh buat keputusan mengikut emosi atau wang ringgit sahaja. Apa yang lebih penting ialah motosikal yang kompetitif, barisan krew yang baik dan persekitaran sesuai untuk pelumba berkembang.
“Kalau kita berpindah sekalipun, saya mahu pastikan Hakim Danish berada dalam persekitaran terbaik. Bukan semua krew Eropah sesuai bekerja dengan pelumba Malaysia, jadi semua perkara itu perlu dinilai dengan teliti,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai pasukan Hakim Danish bernaung ketika ini, beliau memberitahu, MT Helmets-MSi juga sedang menunggu keputusan daripada pihaknya kerana hampir keseluruhan barisan pelumba mereka bagi musim depan telah dimuktamadkan.-UTUSAN










