JAKARTA: Bekas calon Presiden Indonesia, Anies Baswedan menolak tawaran Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) untuk dicalonkan sebagai Gabenor Jawa Barat.
Beliau dikatakan menolak tawaran tersebut beberapa jam sebelum tempoh pencalonan Pilihan Raya Daerah Jawa Barat berakhir semalam.
Memetik laporan media tempatan, PDIP memberi tawaran tersebut selepas Anies tidak dicalonkan sebagai Gabenor Jakarta, dengan nama lain dikemukakan parti itu.
“Anies tidak bertanding di Jawa Barat,” menurut jurucakap Anies, Shahrin Hamid.
PDIP kemudian mencalonkan nama lain iaitu Jeje Wirandinafa sebagai Gabenor manakala artis Indonesia iaitu, Ronal Sunandar Surapradja sebagai calon Timbalan Gabenor Jawa Barat.
Sebelum ini, laluan bekas calon Presiden Indonesia itu bertanding Pilihan Raya Gabenor Jakarta tidak kesampaian apabila PDIP mencalonkan nama lain.
Hal ini setelah PDIP memutuskan untuk mencalonkan pemimpin parti iaitu Pramono Anung sebagai bakal calon Gabenor dalam Pilihan Raya Jakarta 2024.
Keputusan PDIP untuk mencalonkan Pramono Anung bagi Pilkada Jakarta mengejutkan banyak pihak, terutama setelah terdapat spekulasi PDIP mungkin akan meletakkan Anies.-AGENSI










