DHAKA: Presiden Bangladesh, Mohammed Shahabuddin mengarahkan pembebasan bekas Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang, Khaleda Zia yang dipenjarakan beberapa jam selepas musuh politiknya, Sheikh Hasina digulingkan dan tentera mengambil alih kuasa.
Unit komunikasi Presiden dalam satu kenyataan berkata, mesyuarat diketuai Shahabuddin itu sebulat suara memutuskan untuk membebaskan Khaleda serta-merta.
“Mesyuarat juga memutuskan untuk membebaskan semua yang ditahan ketika protes pelajar,” menurut kenyataan itu.
Mesyuarat berkenaan dihadiri Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Waker-Uz-Zaman, Panglima Tentera Laut dan Udara serta pemimpin tertinggi beberapa parti pembangkang termasuk parti pimpinan Khaleda, Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) dan parti Jamaat-e-Islami.
Semalam, Waker dalam ucapan yang disiarkan di televisyen negara berkata, tentera akan membentuk kerajaan sementara berikutan peletakan jawatan Hasina.
Hasina meletak jawatan dan melarikan diri ke luar negara selepas demonstrasi anti kerajaan mengakibatkan hampir 100 orang terbunuh semalam.
Keadaan kesihatan Khaleda, 78, yang tidak begitu baik, memaksa beliau dirawat di hospital selepas menjalani hukuman penjara selama 17 tahun akibat dakwaan rasuah.
Permusuhan antara dua pemimpin wanita tersebut berlaku apabila bekas Perdana Menteri itu menuduh Khaleda menyalahgunakan kuasa yang menggelapkan sejumlah AS$250,000 (RM1.13 juta) yang sepatutnya digunakan sebagai dana untuk sebuah rumah kebajikan.
BNP mendakwa kes berkenaan sengaja direka untuk menjatuhkan Khaleda, tuduhan yang dinafikan kerajaan Hasina.- AGENSI










