DHAKA: Pihak berkuasa Bangladesh merampas aset bernilai 760 bilion taka (RM25.18 bilion) yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri yang digulingkan, Sheikh Hasina, keluarganya dan 10 kumpulan perniagaan kelmarin.
Sejak Hasina digulingkan dalam kebangkitan besar-besaran yang diterajui golongan pelajar pada 2024 dan melarikan diri ke India. Pihak berkuasa kemudian mula menyiasat kekayaan bekas perdana menteri itu.
Siasatan turut merangkumi ahli keluarga dan beberapa kumpulan perniagaan gergasi yang dituduh meraih keuntungan luar biasa sepanjang 15 tahun pemerintahannya.
Unit Perisikan Kewangan Bangladesh memaklumkan, pihaknya telah menyita aset bernilai 570 bilion taka (RM18.88 bilion) di dalam negara. Baki 190 bilion taka (RM6.29 billion) lagi melibatkan aset di luar negara.
Ketua agensi berkenaan, Ikhtiar Mohammad Mamun memberitahu pemberita ketika membentangkan ringkasan laporan tahunan aktiviti mereka bahawa sebanyak 98 kes telah dibuka setakat ini sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas Hasina dan sekutu rapatnya.
“Kami masih berusaha keras untuk membawa pulang wang yang telah digubah di luar negara. Kami berharap dapat berkongsi perkembangan positif berhubung perkara ini menjelang akhir tahun,” jelas Mamun.
Sejak digulingkan, Hasina telah dijatuhi hukuman tanpa kehadirannmya bagi beberapa kes, termasuk kes rasuah yang dikaitkan dengan pengagihan lot tanah di kawasan elit di ibu negara ini.
Malah, mahkamah turut menjatuhkan hukuman mati ke atas beliau atas pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan.
Hasina masih berada di India sejak melarikan diri dari Bangladesh pada Ogos 2024.
Namun, baru-baru ini beliau menyatakan hasratnya untuk pulang ke tanah air menjelang akhir tahun ini. – AFP/AGENSI










