DHAKA: Sekurang-kurangnya lapan etnik Rohingya beragama Islam, termasuk wanita dan kanak-kanak, terbunuh manakala beberapa lagi cedera awal pagi Isnin selepas hujan monsun lebat mencetuskan beberapa kejadian tanah runtuh di kem pelarian di tenggara Bangladesh, menurut pihak berkuasa.
Lebih 1.2 juta etnik Rohingya tinggal di kem-kem yang sesak di Cox’s Bazar, penempatan pelarian terbesar di dunia, selepas melarikan diri daripada tindakan keras tentera di negara jiran Myanmar yang majoriti penduduknya beragama Buddha pada 2017.
Mereka dianggap sebagai orang luar di Myanmar.
Kebanyakan keluarga tinggal di tempat perlindungan sementara yang diperbuat daripada buluh dan kepingan plastik di lereng bukit yang curam serta telah ditebang hutannya, menjadikannya sangat terdedah kepada kejadian tanah runtuh semasa musim monsun setiap tahun.
Tanah runtuh melanda empat lokasi di sekitar kem pelarian, menimbus tempat perlindungan dengan lumpur dan runtuhan ketika penduduk sedang tidur. Seorang lelaki warga Bangladesh turut terbunuh manakala dua ahli keluarganya cedera selepas sebahagian lereng bukit runtuh menghempap rumah mereka di Cox’s Bazar, menurut polis.
Hujan berterusan meningkatkan risiko berlakunya lebih banyak tanah runtuh, dengan ribuan pelarian masih tinggal di lereng bukit yang tidak stabil, kata pegawai polis Cox’s Bazar, Tumpa Das.
Pihak berkuasa telah memindahkan sekurang-kurangnya 1,000 pelarian Rohingya dari kawasan berisiko tanah runtuh ke lokasi yang lebih selamat dan merancang untuk memindahkan beberapa ribu lagi secara berperingkat, menurut pegawai.
Pertempuran yang kembali memuncak di Negeri Rakhine, Myanmar, turut mencetuskan kebimbangan mengenai kemasukan baharu pelarian Rohingya merentasi sempadan. Pihak berkuasa Bangladesh telah memperketat pemantauan di kawasan sempadan susulan laporan terdapat kumpulan orang berkumpul berhampiran sempadan untuk memasuki negara itu.
Ribuan etnik Rohingya, minoriti Islam yang ditindas di Myanmar, mempertaruhkan nyawa setiap tahun dengan melarikan diri daripada penindasan dan perang saudara di negara mereka melalui jalan laut, kebanyakannya menaiki bot buatan sendiri yang serba kekurangan.- AGENSI










