Lelaki Bangladesh cabul lima wanita dipenjara 6 bulan, denda RM15,100

Lelaki Bangladesh cabul lima wanita dipenjara 6 bulan, denda RM15,100

SEORANG individu warga Bangladesh yang didakwa melakukan cabul kehormatan ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, di sini, hari ini. - UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang buruh binaan dihukum penjara enam bulan dan denda RM15,100 oleh empat Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan mencabul lima wanita, bulan lalu.

Tertuduh, Md Romjan Ali yang juga warga Bangladesh dijatuhkan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret-Majistret, Aina Azahra Arifin, Faezahnoor Hassan, Nurul Izzah Hasan Basri dan Farah Nabihah Muhamad Dan.

Mengikut semua pertuduhan, tertuduh didakwa telah mencabul kehormatan kesemua mangsa termasuk seorang wanita warga Jerman dengan pelbagai cara termasuk memeluk dan menyentuh badan mangsa yang berusia di antara 21 dan 28 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di dalam tren di Stesen MRT Maluri dan Taman Midah dan kawasan sekitar stesen pengangkutan awam tersebut serta laluan pejalan kaki di Stesen LRT Chan Sow Lin antara 10 dan 25 April lalu.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-dua sekali.

Di hadapan Aina Azahra, Md. Romjan dikenakan hukuman penjara tiga minggu dari tarikh tangkapan pada 27 April lalu beserta denda RM3,500 atau empat bulan penjara manakala di hadapan Faezahnoor, lelaki itu dipenjara tiga bulan bermula dari tarikh tangkap beserta denda RM3,000 atau tiga bulan penjara.

Bagi pertuduhan ketiga di hadapan Nuzul Izzah, tertuduh dipenjara enam bulan bermula hari ini beserta denda RM3,600 atau enam bulan penjara manakala di hadapan Farah Nabihah dia didenda RM5,000 atau tiga bulan penjara.

Kesemua hukuman yang dijatuhkan itu menjadikan Md. Romjan perlu menjalani tempoh pemenjaraan selama enam bulan dan denda keseluruhan yang perlu dibayar ialah RM15,100.

Pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh, Nurainizatul Farhana Zainal dan Nur Farhana Mohamad Poad serta Pegawai Pendakwa Inspektor M. Alli Nangai dan Inspektor M. Naresh Kumar .

Pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh.

Tertuduh yang diwakili peguam bela, T. Chandrasegaran memohon hukuman berbentuk denda ringan atas alasan mempunyai tanggungan keluarga di negara asal selain telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN