PBB gesa kurangkan kesesakan di kem pelarian Rohingya - Utusan Malaysia

PBB gesa kurangkan kesesakan di kem pelarian Rohingya

KAWASAN tanah tambahan digesa disediakan di kem pelarian Rohingya. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DHAKA: Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) pada Khamis menggesa supaya kawasan tanah tambahan disediakan bagi mengurangkan kesesakan di kem pelarian Rohingya di Bangladesh selepas hujan lebat mencetuskan tanah runtuh yang mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang.

Lebih 1.2 juta pelarian Rohingya, kebanyakannya melarikan diri dari Myanmar ketika tindakan keras tentera pada 2017, kini tinggal di kem-kem yang sesak di Cox’s Bazar.

Pelarian terbabit tinggal di penempatan asas yang dibina di lereng bukit yang telah ditebang pokok-pokoknya, sekali gus menjadikan kawasan itu tidak stabil ketika musim hujan monsun.

Sejak Isnin, sekurang-kurangnya 15 orang maut di kem-kem tersebut, manakala lebih 4,000 pelarian kehilangan tempat tinggal selepas hujan lebat mencetuskan beberapa kejadian tanah runtuh, menurut pihak berkuasa.

Dalam satu laporan yang diterbitkan pada Khamis, UNHCR menekankan tahap kesesakan yang serius di kem-kem berkenaan dan sekali lagi menggesa supaya kawasan penempatan diperluaskan.

“Kejadian ini mengukuhkan lagi kepentingan usaha berterusan untuk mengoptimumkan ruang kem dan menyediakan kawasan tambahan, jika boleh dilaksanakan,” menurut laporan itu.

“Kawasan tambahan akan membolehkan pemindahan yang lebih selamat dari kawasan berisiko tinggi.”

Wakil UNHCR di Bangladesh, Ivo Freijsen berkata bahawa  banyak bahaya yang dihadapi pelarian Rohingya bukan sesuatu yang tidak dijangka atau tidak dapat dielakkan.

Beliau berkata, kekurangan kawasan penempatan, ditambah pula dengan kekurangan dana, telah mengehadkan usaha untuk mengurangkan kesesakan di lokasi yang paling padat dan berbahaya serta merancang pembinaan infrastruktur yang lebih selamat.

Pihak berkuasa Bangladesh, yang menyatakan negara itu sudah menanggung beban yang besar, terus menggesa agar pelarian Rohingya dapat pulang ke tanah air mereka di Myanmar secara bermaruah. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN