GEORGE TOWN : Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) kini sedang berusaha untuk meminimumkan pengeluaran air khususnya dari Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang di bahagian pulau.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, hal ini demikian kerana, berdasarkan situasi semasa, penggunaan air di kedua-dua empangan itu lebih tinggi berbanding taburan hujan ketika ini.
Beliau berkata, secara umumnya, paras empangan adalah rendah dan keadaan itu bukan sahaja berlaku di Pulau Pinang, tetapi juga berlaku di Kedah dan Perak.
Ujarnya, di Pulau Pinang, kawasan yang menjadi perhatian ketika ini ialah di sekitar Air Itam, Farlim, Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah serta beberapa kawasan berhampiran.
“Sehubungan itu, pengguna air disaran untuk mengurangkan penggunaan air sehingga hujan lebat tiba,” katanya di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Pathmanathan memberitahu, tiada sebarang ancaman serta-merta wujud terhadap perkhidmatan bekalan air untuk kira-kira 66.7 peratus pengguna air Pulau Pinang memandangkan paras air Sungai Muda secara relatifnya masih ‘sihat’ buat masa ini.
Jelas beliau, setakat semalam, paras sungai Sungai Muda khususnya di muka sauk Lahar Tiang Pulau Pinang ialah 3.06 meter (m), iaitu lebih 1.0m di atas paras selamat 2.0m manakala kapasiti efektif Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD) di Seberang Perai pula adalah 86.3 peratus.
Katanya, dalam hal ini, PBAPP mengabstrak air mentah dari sungai ini setiap hari untuk digunakan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di Seberang Perai Utara (SPU).
“LRA Sungai Dua mengeluarkan kira-kira 1,026 juta liter sehari (JLH) air terawat dan kawasan perkhidmatannya merangkumi sebahagian besar kawasan di SPU, Seberang Perai Tengah (SPT) serta Seberang Perai Selatan (SPS).
“Selain itu, kawasan perkhidmatan LRA Sungai Dua juga merangkumi kawasan berpendudukan tinggi di Daerah Barat Daya (DBD) dan beberapa kawasan di Daerah Timur Laut (DTL) di bahagian pulau, termasuk FTZ Bayan Lepas,” kata beliau.-UTUSAN.










