BAITULMAQDIS : Ratusan warga Israel telah menceroboh kompleks Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur bagi mengadakan acara keagamaan, yang mencetuskan ketegangan dalam kalangan umat Islam di tapak suci tersebut.
Menurut agensi berita rasmi Palestin Wafa, yang memetik sumber tempatan, kira-kira 800 penduduk Israel yang dikawal oleh tentera Israel tersebut mengunjungi kompleks masjid dan menjalankan ritual keagamaan Talmud, sehingga menyebabkan keresahan dalam kalangan jemaah masjid.
Kemasukan peneroka haram ke kompleks Masjid Al-Aqsa dianggap sebagai tindak balas terhadap gesaan kumpulan pelampau Yahudi untuk memperingati Tisha B’Av, hari puasa tahunan bagi kaum Yahudi yang memperingati peristiwa malapetaka dalam sejarah mereka.
Peneroka haram tersebut dilihat memasuki masjid melalui Pintu Al-Mugharbah di sebelah barat, laluan yang sering digunakan oleh peneroka untuk masuk ke kompleks Masjid Al-Aqsa.
Tentera Israel menutup jalan menuju ke Kota Lama Baitulmaqdis sambil mengerahkan ratusan anggota mereka dan menjadikan kawasan itu sebagai lokasi kawalan tentera danl mengenakan sekatan ketat ke atas penduduk Palestin yang cuba memasuki masjid, menurut laporan tersebut.
Masjid Al-Aqsa adalah tapak ketiga paling suci dalam Islam, manakala orang Yahudi merujuk kawasan itu sebagai Gunung Kuil, di mana mereka percaya terdapat dua kuil Yahudi purba yang terletak di bawah masjid berkenaan.
Israel telah menduduki Baitulmaqdis Timur sejak Perang Arab-Israel pada tahun 1967, dan pada tahun 1980, negara tersebut mengilhakkan atau melakukan pendudukan haram seluruh kawasan Baitulmaqdis, satu tindakan yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. -AGENSI











