Penduduk Gaza hidup tertekan, harga barang meningkat

Penduduk Gaza hidup tertekan, harga barang meningkat 4 kali ganda

PENDUDUK Palestin berpindah dari Deir el-Balah di tengah Gaza pada 21 Ogos lepas, berikutan serangan tanpa henti tentera Israel di wilayah itu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Kebanyakan penduduk Palestin kini hanya mampu menatap barangan keperluan harian di pasar kerana harga makanan yang melambung tinggi di samping kekurangan bekalan asas sehingga menyebabkan barangan keperluan semakin sukar diperoleh.

Harga barang keperluan asas telah meningkat melebihi empat kali ganda sejak konflik bermula sekali gus menambah tekanan, ditambah pula trauma dengan serangan tentera Israel dan krisis kemanusiaan yang kian meruncing tanpa tanda gencatan senjata.

Sebelum perang, satu kilogram kentang hanya berharga RM2.52 namun selepas konflik melambung naik sehingga RM188.00 manakala sebuah satu bekas madu yang dahulunya berharga RM31.50 kini dijual pada RM107.10.

“Kami tiada sayur, daging, telur, atau apa-apa pun. Di mana kerajaan? Di mana rakyat? Mereka sepatutnya mengambil berat tentang nasib kami untuk mengasihani rakyat. Biar saya beritahu sesuatu sehingga semalam saya tidur dalam kelaparan,” kata seorang penduduk Palestin, Abu Islam dari utara Gaza.

Mereka kini bergantung sepenuhnya kepada produk dalam tin yang dihantar melalui bantuan ke wilayah tersebut memandangkan kekurangan makanan lain.

Risiko kebuluran yang tinggi masih wujud di Gaza selagi peperangan berterusan dan akses kemanusiaan terus disekat, menurut penilaian pemantau kelaparan global yang diterbitkan pada 25 Jun lalu. 

Sementara itu, Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) berkata, terdapat lebih 495,000 penduduk Gaza kini menghadapi tahap paling teruk bagi keterjaminan makanan.

Malah sebelum konflik, dua pertiga daripada penduduk hidup dalam kemiskinan dan 45 peratus tenaga kerja menganggur namun selepas perang, ekonomi Gaza mungkin mengambil masa beberapa dekad untuk pulih semula.

Lebih 40,500 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan manakala sebanyak 2.3 juta penduduk telah beberapa kali dipindahkan sehingga menyebabkan mereka menghadapi kekurangan makanan dan ubat-ubatan yang amat kritikal, kata agensi-agensi kemanusiaan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×