STOCKHOLM : Seorang pelampau sayap kanan dari Sweden didakwa di atas tuduhan hasutan terhadap kumpulan etnik dan menghina kerana mencemarkan kitab suci al-Quran pada 2022, demikian menurut laporan media.
Suspek, Rasmus Paludan merupakan seorang aktivis dan ahli parti politik berhaluan kanan, Stram Kurs.
Pihak pendakwaan berkata dalam satu kenyataan pada Rabu lalu, pertuduhan tersebut berdasarkan komen kebencian terhadap orang Islam, Arab dan Afrika yang didakwa dilakukan oleh tertuduh berkaitan dengan peristiwa di Malmo masing-masing pada April dan September 2022.
“Pendakwa raya pada hari ini mendakwa seorang lelaki berusia 42 tahun dengan dua pertuduhan iaitu tuduhan menghasut kebencian kaum dan penghinaan,” katanya.
Tarikh untuk perbicaraan tidak diumumkan tetapi ia dijangka berlangsung selama dua hari.
Sebelum ini, Paludan mencetuskan kemarahan dan kecaman umat Islam seluruh dunia selepas bertindak membakar senaskhah al-Quran di hadapan kedutaan Turki di Stockholm pada Januari 2023.
Mahkamah Turkiye kemudian telah mengeluarkan waran tangkap kepada pemimpin sayap kanan tersebut.
Presiden Turkiye, Tayyip Erdogan mengecam tindakan tersebut dan menyifatkan bahawa protes itu bukan kebebasan bersuara untuk menghina nilai-nilai ayat suci umat islam.
Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan dalam satu kenyataan mengutuk protes tersebut sebagai satu perbuatan yang keji.
“Adalah tidak boleh diterima untuk membenarkan tindakan anti Islam ini dengan alasan kebebasan bersuara. Untuk menutup mata terhadap perbuatan keji itu adalah bersubahat dengan mereka,” katanya.-AGENSI











