PARIS: Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Telegram, Pavel Durov berdepan pelbagai tuduhan di Mahkamah Perancis kerana membenarkan pelbagai aktiviti jenayah berleluasa di aplikasi mesej tersebut.
Pejabat pendakwa Paris dalam satu kenyataan memaklumkan, antara dakwaan dikemukakan terhadap Durov adalah kegagalan berkomunikasi dengan pihak berkuasa, bersubahat dalam kes berkaitan bahan penyalahgunaan seksual kanak-kanak dan penyeludupan dadah, serta melaksanakan teknologi penyulitan tanpa pengisytiharan yang betul.
Menurut pendakwaan, salah satu pertuduhan iaitu bersubahat membenarkan transaksi haram oleh kumpulan penjenayah terancang membawa hukuman maksimum 10 tahun penjara dan denda sebanyak 500,000 euro (RM2.43 juta).
Telegram juga dilapor enggan bekerjasama memenuhi permintaan Perancis bagi urusan pendakwaan berkenaan.
Sementara menunggu perbicaraan, mahkamah membenarkan Durov diikat jamin sejumlah 5 juta euro (RM24.21 juta), namun beliau dilarang meninggalkan Perancis dan perlu melaporkan diri kepada polis dua kali seminggu.
Peguamnya, David-Olivier Kaminski berkata, adalah tidak masuk akal untuk mencadangkan Durov boleh terbabit dalam sebarang jenayah yang dilakukan pada aplikasi itu, sambil menambah mereka mematuhi dalam semua aspek peraturan Eropah mengenai teknologi digital.
Secara berasingan, Durov turut disiasat kerana disyaki melakukan tindakan keganasan serius terhadap salah seorang anaknya semasa dia dan bekas pasangannya yang juga ibu kepada kanak-kanak lelaki itu, berada di Paris, kata sumber.
Minggu lalu, Durov muncul menjadi pemilik platform internet yang disiasat atas tuduhan kegagalan jenayah kerana membenarkan salah laku di aplikasi miliknya.
Telegram di bawah pentadbiran Durov enggan bekerjasama dengan undang-undang atau mahkamah di seluruh dunia.
Penahanan beliau mencetuskan kecaman dan spekulasi daripada kumpulan penyokong kebebasan bersuara dan komuniti eksekutif aplikasi mesej yang mendakwa ia adalah usaha untuk mengawal platform tersebut.
Sebelum ini, Durov, 39, ditangkap oleh polis Perancis di sebuah lapangan terbang utara Paris selepas jet peribadinya mendarat di Lapangan Terbang Le Bourget, Perancis. – AGENSI










