RIYADH: Pakatan tentera diketuai Arab Saudi yang memerangi Houthi di Yaman pada Khamis berkata, pihaknya memintas peluru berpandu di wilayah Madinah, lokasi salah satu kota paling suci dalam Islam.
Namun, Houthi menafikan melancarkan sebarang serangan sedemikian.
“Pemusnahan peluru berpandu di wilayah Madinah,” tulis jurucakap pakatan itu, Turki Al-Malki, di platform X. Kenyataan sama turut disiarkan media kerajaan.
Houthi segera menafikan dakwaan itu dengan menyatakan pihaknya tidak menyasarkan wilayah berkenaan pada Khamis.
Kumpulan itu sebelum ini berikrar tidak akan menyerang kota suci Madinah dan Mekah.
Arab Saudi sejak beberapa hari lalu berdepan serangan berterusan oleh Houthi.
Ia termasuk serangan terhadap lapangan terbang antarabangsa Riyadh yang menjadi serangan paling dahsyat terhadap kerajaan itu dalam tempoh beberapa tahun, ketika perang dengan kumpulan berkenaan semakin memuncak.
Riyadh membalas dengan melancarkan serangan terhadap kubu kuat kumpulan disokong Iran itu di ibu negara Yaman, Sanaa.
Madinah, tempat pemakaman Nabi Muhammad SAW dan lokasi Masjid Nabawi, merupakan antara kota paling suci dalam Islam bersama-sama Mekah.
Houthi berikrar akan meneruskan serangan terhadap lapangan terbang dan lokasi lain di seluruh Arab Saudi.
Bagaimanapun, pada Ahad, ia berkata Mekah dan Madinah tidak akan disasarkan.
Angkatan tentera Yaman mengesahkan bahawa mereka tidak melancarkan sebarang operasi yang menyasarkan wilayah Arab Saudi hari ini dan dakwaan musuh Arab Saudi mengenai serangan terhadap Madinah adalah pembohongan yang tidak tahu malu dan terang-terangan,” tulis jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree, di platform X pada Khamis.
Pakatan diketuai Arab Saudi telah memberikan sokongan ketenteraan kepada kerajaan Yaman dalam memerangi Houthi sejak 2015, dalam perang saudara berpanjangan yang mencetuskan krisis kemanusiaan. – AFP











