Lapan tahun Klinik Manjoi tumpang dewan serbaguna

Lapan tahun Klinik Manjoi tumpang dewan serbaguna

KEADAAN pesakit yang mendapatkan rawatan kesihatan di Klinik Manjoi di Dewan Serbaguna Kampung Manjoi, Ipoh. – UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Penduduk menyambut baik langkah kerajaan memastikan Klinik Kesihatan Manjoi di sini siap pada Mac tahun depan selepas beberapa kali pembinaannya tertangguh.

Ini kerana sudah lapan tahun rawatan kesihatan untuk pendu­duk sekitarnya dijalankan de­ngan menumpang di Dewan Serbaguna Kampung Manjoi di sini.

Ini menimbulkan kesukaran kepada penduduk di sekitar klinik tersebut seramai lebih 40,000 orang yang meliputi lima buah kampung iaitu Kampung Manjoi, Kampung Tengku Hussein, Kampung Sungai Tapah, Kampung Dato Ahmad Said dan Kampung Jelapang Baru.

Dianggarkan 500 pesakit datang ke klinik tersebut setiap hari.

Keadaan bangunan dewan yang menempatkan klinik itu juga menyebabkan masalah parkir kerana pekarangan klinik itu hanya boleh menempatkan 13 parkir lot kenderaan.

Sementara itu, penduduk me­nyambut baik jaminan kerajaan pembinaan klinik tersebut siap tahun depan untuk kemudahan penduduk mendapatkan rawatan.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad berkata, keadaan klinik yang menum­pang di dalam dewan sangat tidak efisien disebabkan ruang rawatan yang terhad.

“Kalau kita tengok keadaan ini sudah lama, sudah lapan tahun, tetapi bangunan klinik masih belum siap dibina.

“Penduduk berharap agar pembinaan klinik kesihatan yang baharu dapat disegerakan, perlu disiapkan mengikut masa yang ditetapkan, janganlah tertangguh lagi.

“Jumlah penduduk di kawa­san Gugusan Manjoi sangat padat sedangkan kami memerlukan pusat rawatan yang efisien sekaligus dapat menampung jum­lah pesakit yang ramai.

“Jika kawasan klinik sempit tetapi pesakit ramai, ia akan me­nimbulkan rasa ketidakselesaan semasa tempoh menunggu waktu rawatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Ke­sihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional, A.Sivanesan berkata, pembina­an klinik itu dijangka siap se­penuhnya pada 1 Mac tahun de­pan tanpa penangguhan lagi.

Menurutnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga bersetuju tidak ada penangguhan pembinaan selepas ini dan dalam masa tujuh bulan, Klinik Kesihatan Manjoi harus siap dibina.

Katanya, ketika ini 53 peratus bangunan tersebut sudah siap dan masih ada lagi lebih kurang 46.4 peratus yang belum siap. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN