Ancelotti enggan tekan butang panik

Ancelotti enggan tekan butang panik

Carlo Ancelotti
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EAST RUTHERFORD: Jurulatih Brazil, Carlo Ancelotti mengakui amat menyakitkan apabila terpaksa melihat pasukannya tersingkir daripada pusingan 16 terakhir Piala Dunia 2026 di tangan Norway.

Pengendali dari Itali itu berkata, penyingkiran tersebut perlu dijadikan pembakar semangat untuk masa hadapan, sambil menegaskan itu merupakan permulaan kitaran baharu buat Brazil.

“Jelas sekali semua orang sangat kecewa, memandangkan apa yang berlaku. Saya tidak fikir kami mempunyai Piala Dunia yang luar biasa tetapi kami bermain dengan baik. Saya rasa kami juga layak memenangi perlawanan hari ini.

“Anda perlu menghadam kekalahan seperti ini. Ini adalah satu pengembaraan baharu. Sekarang kita perlu terus merebut tempat dalam pasukan, terus berusaha untuk memperbaiki diri,” kata Ancelotti.

Ancelotti mempunyai kontrak sehingga Piala Dunia seterusnya pada 2030 dan dia segera menolak sebarang kemungkinan bahawa beliau akan berundur sekarang.

“Saya tidak fikir ini adalah pengakhiran. Saya fikir ini adalah permulaan kitaran baharu.

“Saya rasa dengan skuad yang mereka ada, Brazil boleh bersaing hingga ke penghujung Piala Dunia ini, walaupun dengan apa yang berlaku dalam perlawanan hari ini,” katanya.

Penantian Brazil untuk memenangi Piala Dunia sekali lagi kini akan berlanjutan melebihi suku abad, dengan gelaran terakhir mereka diraih pada tahun 2002 di Jepun.

Penyingkiran di peringkat 16 akhir ini menjadikannya pencapaian terburuk Brazil dalam Piala Dunia sejak 1990, apabila mereka tewas di peringkat yang sama kepada Argentina.

“Apa yang saya boleh katakan, apa yang boleh kami lakukan dan apa yang akan kami lakukan ialah terus bekerja keras untuk pasukan kebangsaan, terus cuba memperbaiki diri dan mencari idea baharu.

“Saya rasa kami telah melakukan kerja yang baik, tetapi ini adalah bola sepak dan ini adalah sukan. Anda hanya perlu berdepan dengan keadaan ini, berdepan dengan kesedihan dan rasa pahit kekalahan.

“Saya sudah biasa dengan perkara ini dan kami akan menghadapinya. Kami akan jadikannya sebagai bahan bakar untuk masa depan,” kata Ancelotti lagi. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN