Derita Nur Arissa dapat perhatian Kerajaan Pahang - Utusan Malaysia

Derita Nur Arissa dapat perhatian Kerajaan Pahang

NIK Mohd. Ridzuan Kamarudin (kanan) menziarahi Nur Arissa Mohd. Sabri di Kampung Cengal Lempung, Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Nasib Nur Arissa Mohd. Sabri, 11, kanak-kanak yang sedang berjuang melawan leukemia mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri yang meluluskan bantuan khas bagi meringankan beban kewangan keluarga itu.

Pengerusi Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) Parlimen Indera Mahkota, Nik Mohd. Ridzuan Kamarudin berkata, bantuan itu bagi menampung kos berkaitan termasuk perjalanan dan perbelanjaan harian Nur Arissa serta keluarganya yang perlu berulang-alik mendapatkan rawatan di Hospital Sulta­nah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, Terengganu.

Katanya, permohonan bantuan dikemukakan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan diluluskan.

Bagaimanapun, proses pembayaran dijangka mengambil sedikit masa sebelum disalurkan kepada keluarga terbabit.

“Setakat ini, memang kita sudah mendapat kelulusan. Cuma prosedur pembayaran mengambil sedikit masa, mungkin sekitar tiga bulan. Saya akan cuba memohon untuk mempercepatkan proses itu supaya bantuan dapat diterima secepat mungkin dan digunakan bagi menampung kos perjalanan keluarga ini,” katanya selepas menziarahi Nur Arissa di Kampung Cengal Lempung di sini.

Nik Mohd. Ridzuan berkata, selain bantuan kerajaan negeri, pihaknya turut menghulurkan sumbangan peribadi bagi me­ngurangkan beban yang ditanggung.

Beliau berkata, pihaknya juga bersedia membantu membuat permohonan bantuan tambahan daripada kerajaan negeri jika diperlukan, memandangkan tempoh rawatan Nur Arissa dijangka mengambil masa kira-kira dua tahun.

“Ada keperluan lain dari semasa ke semasa, kita akan mohon penambahan bantuan termasuk bagi keperluan rawatan dan perbelanjaan lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN