Bellingham pimpin England ke suku akhir Piala Dunia 2026

Bellingham pimpin England ke suku akhir Piala Dunia 2026

PEMAIN tengah England, Jude Bellingham (kiri) bersama Anthony Gordon (tengah) dan Morgan Rogers meraikan kejayaan mereka layak beraksi di peringkat suku akhir Piala Dunia 2026. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEXICO CITY: Jude Bellingham muncul wira England apabila meledak dua gol untuk membantu Three Lions menewaskan tuan rumah, Mexico 3-2 dalam aksi penuh dramatik di Stadium Azteca, sekali gus mengesahkan kemaraan ke suku akhir Piala Dunia 2026.

Harry Kane turut menyumbang satu gol menerusi sepakan penalti ketika England yang beraksi dengan 10 pemain sejak awal babak kedua berjaya mengharungi tekanan hebat daripada Mexico untuk meneruskan misi memburu kejuaraan utama pertama dalam tempoh 60 tahun.

PENYERANG England, Harry Kane (kiri) meraikan kejayaannya meledak gol ketiga pasukan ketika menewaskan Mexico 3-2 dalam aksi 16 terbaik Piala Dunia 2026 di Mexico City, semalam. – AFP

Kemenangan itu menyaksikan skuad bimbingan Thomas Tuchel akan berdepan Norway yang diterajui Erling Haaland dalam aksi suku akhir.

Bellingham membuka tirai jaringan menerusi tandukan kemas hasil hantaran Bukayo Saka sebelum menggandakan kelebihan England hanya 98 saat kemudian selepas menyempurnakan umpanan Harry Kane.

Dua gol pantas itu menyaksikan Mexico hanya mengalami kekalahan ketiga dalam 90 perlawanan di Stadium Azteca.

Bagaimanapun, tuan rumah kembali menghidupkan peluang apabila Julian Quinones merapatkan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama selepas England gagal mengeluarkan bola daripada situasi sepakan percuma.

Jordan Pickford kemudian muncul penyelamat England apabila beberapa kali menggagalkan percubaan berbahaya Raul Jimenez, manakala Bellingham turut melakukan halangan penting untuk menafikan jaringan penyamaan Cesar Montes.

Cabaran England bertambah sukar apabila Jarell Quansah diperintah keluar padang pada minit ke-54 selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati dia melakukan terjahan keras terhadap Jesus Gallardo.

Namun, kekurangan seorang pemain tidak menghalang England untuk menambah jaringan apabila Anthony Gordon dijatuhkan penjaga gol Mexico, Raul Rangel sebelum Kane tenang menyempurnakan sepakan penalti enam minit kemudian.

Mexico sekali lagi merapatkan jurang menerusi sepakan penalti Jimenez selepas Kane pula didapati melakukan kekasaran di dalam kotak penalti sendiri, sekali gus menghangatkan baki perlawanan.

PENYERANG Mexico, Raul Jimenez menyempurnakan penalti ketika bertemu England, semalam. – AFP

Skuad kendalian Javier Aguirre terus melancarkan serangan bertali arus, namun benteng England kekal utuh untuk mempertahankan kelebihan sehingga wisel penamat.

Kemenangan itu turut menebus kekecewaan England di Stadium Azteca selepas kekalahan kepada Argentina pada suku akhir Piala Dunia 1986 yang menyaksikan Diego Maradona menjaringkan dua gol, termasuk jaringan kontroversi ‘Hand of God’.

PEMAIN Mexico terpaksa akur dengan kekalahan 3-2 kepada England sekali gus menamatkan perjuangan mereka dalam kempen Piala Dunia 2026. – AFP

Sementara itu, jaringan keenam Kane dalam kejohanan meletakkannya hanya satu gol di belakang Erling Haaland, Lionel Messi dan Kylian Mbappe dalam perebutan anugerah Kasut Emas. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN