KDN batalkan Perintah Larangan komik Jalan Meraih Manfaat Bersama (BRI)

KDN batalkan Perintah Larangan komik Jalan Meraih Manfaat Bersama (BRI)

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik kontroversi Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama (BRI) tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau yang sebelum ini diwartakan pada 2019.

Perkara itu terdapat di dalam Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 12 Ogos 2024, yang ditandatangani Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 6 Ogos lalu.

Berdasarkan warta tersebut, pembatalan perintah larangan itu membabitkan penerbitan komik berkenaan dalam tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Mandarin dan bahasa Inggeris yang bertajuk ‘Belt and Road Initiative for Win-Winism’.

“Pada menjalankan kuasa yang diberikan Subseksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), menteri membatalkan Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) (No. 3) 2019 (P.U. (A) 288/2019) yang telah disiarkan dalam Warta pada 23 Oktober 2019 yang melarang pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan yang dinyatakan dalam Jadual,” petik Warta Kerajaan Persekutuan itu.

Pada 8 Disember 2022, media melaporkan Kerajaan Persekutuan gagal mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan semula larangan ke atas penerbitan komik itu.

Peguam Vince Tan Hoo Seh, yang mewakili Kuan Yau memaklumkan, hakim tidak menemui sebarang isu baharu atau persoalan yang dikemukakan kerajaan adalah berhubung kepentingan awam untuk mewajarkan usaha mengembalikan larangan itu.

Pada 23 Oktober 2019 pula, KDN mewartakan Perintah Larangan terhadap penerbitan ‘Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama’ dalam tiga versi bahasa itu melalui Warta Kerajaan P.U.(A) 288/2019.

Warta Perintah Larangan itu dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Perintah itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan ini dilarang secara mutlak di Malaysia.

KDN berkata, penerbitan itu dikenakan perintah larangan kerana terdapat kandungan mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan serta mungkin menggemparkan fikiran orang ramai.

Katanya, kandungan penerbitan itu antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta salah dan mengelirukan mengenai komunis serta mengandungi unsur membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis.

Namun, pada 26 Julai lalu, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa komik itu tidak mengandungi bahan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam, malah menurut keputusan sebulat suara panel tiga hakim yang bersidang, tiada kejadian tidak diingini berlaku di Malaysia dalam tempoh enam bulan sebelum KDN mengharamkan komik tersebut.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN