PRN Johor perlu jadi medan idea, bukan perang persepsi

PRN Johor perlu jadi medan idea, bukan perang persepsi

JAIS ABDUL KARIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu menghentikan perang persepsi dan mengutamakan kempen berasaskan fakta, dasar, rekod prestasi serta integriti.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, pihaknya mengikuti perkembangan kempen PRN Johor yang semakin rancak dengan pelbagai naratif politik, dakwaan dan isu yang dibangkitkan oleh semua pihak.

Beliau berkata, perbezaan pendapat dan kritikan adalah sebahagian daripada demokrasi namun budaya politik negara perlu bergerak ke arah kempen yang lebih matang.

Katanya, kempen politik tidak seharusnya hanya bersandarkan sentimen ketakutan, serangan peribadi atau persepsi negatif yang boleh mengelirukan rakyat.

“MCW menegaskan semua parti perlu menghormati prinsip pilihan raya yang bersih dan adil.

“Sebarang penggunaan aset kerajaan, program rasmi atau sumber awam perlu dielakkan daripada menimbulkan persepsi bahawa ia memberi kelebihan politik kepada mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jais berkata, semua dakwaan dan kritikan politik juga mestilah dibuat secara bertanggungjawab, berasaskan bukti serta tidak mengelirukan rakyat.

Beliau berkata, pengundi Johor perlu menilai calon berdasarkan integriti, kemampuan mentadbir, rekod perkhidmatan dan komitmen membanteras salah guna kuasa.

“PRN Johor seharusnya menjadi medan pertandingan idea dan penyelesaian kepada masalah rakyat, bukannya perlumbaan mencipta persepsi negatif.

“Politik boleh berbeza warna tetapi integriti mesti menjadi prinsip bersama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN