KUALA LUMPUR – Penyanyi, Fajar Noor kembali mewarnai industri muzik menerusi pelancaran album sulung berjudul ‘Sementara, Selamanya’ yang mengangkat kisah cinta, kehilangan dan harapan berdasarkan pengalaman peribadinya.
Album tersebut mengetengahkan naratif mengenai kitaran sesebuah percintaan bermula daripada detik jatuh cinta, konflik, kehilangan, patah hati sehingga perasaan yang masih berbaki dalam hubungan yang belum benar-benar berakhir.
Setiap lagu dalam album itu membawa pendengar menyelami pelbagai fasa emosi termasuk kebahagiaan, kekecewaan, penyesalan dan rasa yang terpendam menerusi penceritaan yang dekat dengan pengalaman kehidupan.
Bagi merealisasikan konsep tersebut, Fajar bekerjasama dengan Arsy Widianto dan Iqbal Siregar bagi menghasilkan susunan muzik pop balada moden yang menampilkan gabungan melodi dan aransemen yang ringkas tetapi menyentuh perasaan.
Menurut Fajar, album itu merupakan karya paling peribadi sepanjang perjalanan seninya kerana setiap lagu lahir daripada pengalaman serta emosi yang pernah dilaluinya.
“Cabaran terbesar adalah untuk jujur dengan diri sendiri kerana banyak lagu dalam album ini datang daripada pengalaman dan emosi yang sangat dekat dengan saya,” katanya.
Beliau berkata, setiap lagu dalam Sementara, Selamanya diharapkan bukan sahaja mewakili kisah hidupnya, malah mampu dirasai oleh sesiapa yang pernah melalui fasa cinta, kehilangan dan penyesalan.
Dalam sesi temu bual secara langsung di platform TikTok bersama ERA Sabah, ERA Sarawak dan Gempak, Fajar turut mengumumkan bakal hadir ke Malaysia bagi mempromosikan album sulungnya termasuk mengadakan persembahan secara langsung untuk peminat tempatan.
“Terima kasih kepada semua peminat di Malaysia yang sentiasa menyokong muzik saya, saya sangat teruja untuk akhirnya bertemu kalian buat kali pertama dan tidak sabar berkongsi pengalaman itu menerusi persembahan album ini,” ujarnya.
Maklumat lanjut mengenai tarikh dan lokasi persembahan akan diumumkan menerusi saluran media sosial rasmi Fajar Noor serta Universal Music Malaysia, manakala album Sementara, Selamanya kini boleh distrim di semua platform penstriman digital.










