BAGHDAD: Pihak berkuasa Iraq berjaya merampas wang tunai dianggarkan bernilai AS$20 juta (RM81.5 juta) dan lima kilogram (kg) emas yang disembunyikan di dalam botol air plastik, lapor agensi berita Anadolu.
Majlis Kehakiman Tertinggi Iraq dalam satu kenyataan memaklumkan pada Isnin, rampasan besar-besaran itu dilakukan dalam siasatan kes rasuah yang sedang berjalan membabitkan bekas Timbalan Menteri Minyak bagi Hal Ehwal Penapisan, Adnan Al-Jumaili.
Menurut kenyataan yang dipetik oleh agensi berita rasmi INA, hakim penyiasat di Mahkamah Jenayah Pusat bagi Memerangi Rasuah telah mengarahkan penyitaan wang tunai tambahan berjumlah 25 bilion dinar Iraq (RM62.3 juta) serta AS$1 juta (RM4.07 juta) lagi wang tunai.
Pihak berkuasa turut merampas barang kemas emas seberat kira-kira lima kg sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas Al-Jumaili dan beberapa suspek lain yang dikaitkan dengan kes berkenaan.
Hakim penyiasat menjelaskan, operasi itu adalah hasil usaha ekstensif bagi mengesan hasil kewangan yang diperoleh melalui penyelewengan projek oleh suspek dan sekutunya.
Kesemua wang tunai tersebut ditemui tersorok di dalam botol air plastik di kediaman Al-Jumaili yang terletak di Tikrit.
Rampasan terbaharu ini menjadikan jumlah keseluruhan aset yang telah disita dalam siasatan berkenaan mencecah 127 bilion dinar Iraq (RM3.9 bilion) dan AS$24 juta (RM97.8 juta) wang tunai, selain beberapa hartanah, kenderaan dan emas.
Pihak berkuasa menegaskan siasatan masih berjalan dan usaha memburu suspek-suspek lain giat dijalankan sehingga semua prosedur undang-undang selesai.
Minggu lalu, Iraq mengumumkan penahanan berpuluh-puluh suspek yang terlibat dalam kes rasuah kewangan dan pentadbiran berskala besar, termasuk beberapa ahli parlimen serta pegawai kerajaan yang telah ditarik balik imuniti undang-undang mereka.
Siri tangkapan tersebut dilakukan susulan pengakuan yang dibuat ketika siasatan terhadap Al-Jumaili yang dipecat daripada jawatannya pada 2 Jun 2026 atas tuduhan membazirkan dana awam dan menganugerahkan kontrak secara haram. – AGENSI










