Iran sedia runding semula program nuklear dengan AS

Iran sedia runding semula program nuklear dengan AS

PEMIMPIN tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBAI: Pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei bersedia untuk mengadakan rundingan semula dengan Amerika Syarikat (AS) mengenai program nuklear negara yang semakin pesat berkembang.

Walaupun menegaskan tidak bahaya berunding dengan ‘musuh’, beliau masih menetapkan syarat ketat, yang mencerminkan ketidakpercayaan terhadap AS, walaupun rundingan ini akan dipimpin Presiden reformis, Masoud Pezeshkian.

“Ini tidak bermakna kita tidak boleh berinteraksi dengan musuh yang sama dalam situasi tertentu.

“Tiada salahnya dalam hal itu, tetapi jangan terlalu menaruh harapan padanya,” kata Khamenei menerusi transkrip di laman web rasminya.

Pendekatan Khamenei ini mirip dengan pendiriannya semasa rundingan perjanjian nuklear 2015, di mana Iran bersetuju untuk mengehadkan aktiviti nuklear sebagai pertukaran untuk penarikan sekatan ekonomi.

Bagaimanapun, situasi semasa menjadi lebih rumit disebabkan ketegangan memuncak di Timur Tengah, terutama konflik Israel-Hamas dan pilihan raya presiden AS, yang mungkin mempengaruhi kebebasan Pe­zeshkian dalam rundingan ini.

Khamenei, yang mempunyai kuasa terakhir dalam semua urusan negara, turut memberi amaran kepada Kabinet Pezeshkian untuk tidak terlalu mempercayai pihak musuh.

Beliau kadang kala menyokong dan menolak rundingan dengan Washington, terutama selepas bekas Presiden Donald Trump secara sepihak menarik AS keluar daripada perjanjian itu pada 2018.

Terdapat rundingan tidak langsung antara Iran dan AS dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dibantu Oman dan Qatar, dua negara yang sering bertindak sebagai pengantara bagi AS dengan Iran.

Kenyataan Khamenei dibuat sehari selepas Perdana Menteri Qatar, Mohammed bin Abdulrahman Jassim Al Thani melawat Iran.

Sementara itu, Jabatan Negara AS berkata, pihaknya akan menilai kepemimpinan Iran berdasarkan tindakan, bukan ke­nyataan mereka.

“Kami sudah lama menyatakan bahawa kaedah diplomasi adalah cara terbaik mencapai penyelesaian berkesan dan mampan berkaitan program nuklear Iran.

“Bagaimanapun, masih jauhmencapai ke arah itu memandangkan ketegangan Iran di pelbagai dan kegagalan untuk bekerjasama dengan Agensi Tenaga Atom Antabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” katanya. – AP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN