PARIS: Atlet Sweden, Armand Duplantis membuktikan dirinya berada dalam kelas tersendiri apabila mengatasi rekod dunia miliknya sekali gus mempertahankan emas lompat bergalah di Sukan Olimpik Paris 2024.
Pada hari kelima acara olahraga berlangsung, Duplantis dengan kemas membuat lompatan melepasi ketinggian 6.25 meter (m) sekali gus mendapat tepukan gemuruh daripada 69,000 penonton.
Ketinggian itu sekali gus mengatasi catatan terbaiknya dengan perbezaan satu sentimeter 6.24 ketika Liga Berlian, April lalu.
“Apa yang boleh saya katakan? Saya baru sahaja memecahkan rekod dunia di pentas Olimpik iaitu sukan terbesar buat seorang atlet.
“Impian terbesar saya sejak kecil adalah memecahkan rekod dunia di Olimpik dan saya berjaya melakukannya di depan penonton yang gemuruh saya hadapi,” kata Duplantis.
Pingat perak diraih atlet Amerika Syarikat (AS) Sam Kendrick dengan ketinggian 5.95m mankala gangsa menjadi milik wakil Greece, Emmanouil Karalis dengan catatan 5.90m.
Untuk rekod, ini merupakan kali kesembilan Duplantis memecahkan rekod dunia dalam acara itu.
Selain itu, beliau muncul menjadi lelaki pertama mengekalkan kejuaraan lompat bergalah sejak atlet AS, Bob Richards melakukannya pada tahun 1952 dan 1956. – AGENSI










